Lebuhraya Pan Porneo dijangka siap pada 2023

Projek dijangka siap dalam tempoh lapan tahun

KUALA LUMPUR: Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak sepanjang 1,090 kilometer (km) dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lapan tahun dan beroperasi sepenuhnya pada awal 2023.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata projek itu terbahagi kepada dua fasa dan fasa pertama melibatkan laluan dari Telok Melano-Sematan-Kuching-Serian-Sibu-Bintulu-Miri telah bermula pada 31 Mac lalu.

Katanya, pembinaan awal melibatkan jajaran dari Persimpangan Jalan Nyabau ke Persimpangan Jalan Bakun sepanjang 43 km dengan harga kontrak sebanyak RM638 juta.

“Projek kedua pula melibatkan laluan dari Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 km yang telah dilancarkan pada 1 Sept lalu dengan harga kontrak RM580 juta.

“Segmen-segmen lain untuk fasa pertama sedang dalam peringkat proses tender prakelayakan dan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2016,” katanya ketika menjawab soalan Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Wong ingin mengetahui tentang tahap pembinaan dan peningkatan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak. — Bernama

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/27/lebuhraya-pan-porneo-dijangka-siap-pada-2023/