Lebih 1,000 penyokong akan iringi Alexander ke pusat penamaan calon

PADAT: Ribuan penyokong Alexander berhimpun di kediamannya di Bukit
Temedak, Simpang Sedaya, Kanowit semalam.

PADAT: Ribuan penyokong Alexander berhimpun di kediamannya di Bukit Temedak, Simpang Sedaya, Kanowit semalam.

KANOWIT: Lebih 1,000 penyokong termasuk ketua masyarakat dan tuai rumah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah berhimpun di kediaman penyandang kerusi DUN Ngemah Alexander Vincent di Bukit Temedak, Simpang Sedaya di sini, semalam.

Perhimpunan khas itu adalah sempena persediaan Alexander yang akan menghantar pencalonannya pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) di Majlis Daerah Kanowit, jam 9 pagi ini.

Ini adalah sokongan rakyat di kawasannya yang memberi semangat kepada beliau bagi menghadapi lawan pada PRN11 ini.

Turut sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri dan isteri Alexander, Susan Clement.

Pada perhimpunan itu, Alexander turut menjalankan upacara khas iaitu upacara ‘miring’ bagi memohon keberkatan urusan penamaan calon seterusnya berkempen pada PRN ini.

Alexander ketika ditemui berkata, beliau bersedia menghadapi cabaran calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Richard Lias serta calon-calon lain kemungkinan akan bertanding.

“Kita turut bersedia menghadapi sebarang kemungkinan calon-calon lain bertanding di DUN Ngemah,” katanya.

Beliau yakin PRN ini Barisan Nasional (BN) mendapat mandat daripada rakyat Ngemah kerana beliau banyak berusaha membangunkan kawasannya sejak lima tahun lalu.

“Ngemah terus dibangunkan sekiranya sokongan padu rakyat memihak kepada BN pada PRN ini.

“Justeru, kemenangan BN di Ngemah memastikan pembangunan berterusan,” tambahnya.

Dalam pada itu, kerusi DUN Ngemah dijangka menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Alexander dijangka berhadapan dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Thomas Laja, Richard Lias (DAP) dan seorang calon Bebas yang merupakan bekas kakitangan kerajaan mempunyai kelayakan Doktor Falsafah (PhD).

Sebelum ini, PKR tidak bertanding di DUN Ngemah bagi memberi laluan kepada DAP namun calonnya menafikan. Bagaimanapun, Thomas mengesahkan beliau akan bertanding.

Pada PRN 2011, Alexander memenangi kerusi DUN Ngemah dalam pertandingan lima penjuru melibatkan Gabriel Adit Demong daripada Parti Cinta Malaysia (PCM), Aris Alap (PKR), Michael Lias Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Bebas Yakup Khalid.

Alexander memperolehi undi sebanyak 2,361 diikuti Adit 1,366 undi, Aris (650 undi), Michael (577 undi) dan Yakup (278 undi). Alexander menang dengan majoriti 995 undi.

Pada PRN ini, Ngemah mempunyai 8,899 pengundi berdaftar.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/25/lebih-1000-penyokong-akan-iringi-alexander-ke-pusat-penamaan-calon/