Lebih 1,000 ingkar PKP di Sarawak ditahan

KUCHING: Seramai 1,011 individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditangkap di negeri ini dalam tempoh sebulan, sejak 18 Mac lalu.

Jumlah itu termasuk 124 tangkapan terbaharu dalam tempoh 24 jam antara jam 8 pagi semalam hingga jam 8 pagi tadi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata Kuching merekodkan jumlah paling ramai iaitu 30 orang diikuti Kota Samarahan (19), Sarikei (13), Padawan (11) serta masing-masing lapan di Miri dan Bintulu.

Sibu pula dengan tujuh tangkapan, Serian (enam), Sri Aman (lima), Meradong (lima), Simunjan (empat), Bau (dua), Betong (dua), Limbang (dua), Tatau (satu) dan Mukah (satu).

“Kesemua mereka yang ditangkap mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dev berkata, seramai 73 orang didakwa di mahkamah semalam kerana ingkar PKP, menjadikan jumlah keseluruhan yang menghadapi pertuduhan kini seramai 593 orang.

“Sejak PKP fasa tiga dilaksanakan empat hari lalu, polis tidak lagi mengenakan kompaun kepada mereka yang ingkar arahan itu.

“Sebaliknya, mereka yang ingkar akan ditahan dan direman, kemudiannya didakwa ke mahkamah,” katanya.

Lagi berita mengenai COVID-19

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/04/678529/lebih-1000-ingkar-pkp-di-sarawak-ditahan