Larangan MASwings jejas perniagaan kedai haiwan

Syarikat penerbangan itu tidak lagi benar haiwan ternakan diangkut guna penerbangan Fokker (ATR)

// Oleh Mastura Ismail //

TERJEJAS: Pua menunjukkan akuarium ikan yang kosong di kedainya sejak larangan itu dikuatkuasakan.

TERJEJAS: Pua menunjukkan akuarium ikan yang kosong di kedainya sejak larangan itu dikuatkuasakan.

LIMBANG: Peniaga kedai haiwan di sini mendakwa perniagaan mereka terjejas selepas syarikat penerbangan MASwings tidak lagi membenar haiwan ternakan diangkut melalui penerbangan jenis Fokker (ATR) sejak 16 Oktober lepas.

Menurut peniaga, larangan itu memberi kesan terutama kepada peniaga di utara negeri ini yang menghadapi masalah pengangkutan bagi mendapatkan benih haiwan dan haiwan ternakan untuk pasaran di sini.

Seorang peniaga Pua Siok Kiew, 50, berkata keputusan itu amat menyedihkan dan menjejaskan pengusaha kedai haiwan yang sebelum ini kerap menggunakan pengangkutan udara bagi menguruskan perniagaan kedai haiwan.

“Sejak larangan itu dikuat kuasa 16 Oktober lepas, perniagaan kedai haiwan yang kami usahakan sejak 15 tahun lepas jatuh merundum sebanyak 30 peratus.

“Kedai haiwan kami berdepan kekurangan jualan haiwan ternakan dan akuarium juga kosong kerana ketiadaan ikan serta benih ikan untuk dijual,”katanya kecewa ketika ditemui semalam.

Pua berkata lagi larangan itu memberi kesan negatif kepada peniaga khususnya di utara Sarawak yang tersepit dengan negara jiran Brunei.

Beliau berkata lagi peniaga kedai haiwan di sini tidak mampu mendapatkan bekalan haiwan ternakan sama ada di Miri mahupun Sabah menggunakan laluan darat kerana kos yang terlalu tinggi.

“Kami terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan sebanyak RM1,000 bagi satu jenis haiwan ternakan yang dibawa masuk melalui Brunei.

“Kos ini amat tinggi dan ia belum merangkumi bayaran bagi pelbagai jenis haiwan ternakan untuk dibawa masuk sekiranya menggunakan jalan darat,” katanya.

Jelas Pua perkara tersebut sudah diutara kepada syarikat MASwings di sini, bagaimanapun mereka menjelaskan keputusan itu dibuat oleh kerajaan negeri.

Masalah itu katanya, turut menjejaskan permintaan pengusaha ikan kolam di kawasan luar bandar yang ingin mendapatkan benih ikan di kedai mereka.

“Sebelum ini pengusaha kolam ikan di luar bandar boleh mendapatkan sekitar 1,000 benih ikan daripada kedai kami.

“Tetapi selepas larangan berkenaan kami hanya mampu menyediakan kira-kira 500 benih ikan,”jelasnya.

Benih ikan itu katanya, terpaksa dibawa masuk melalui jalan darat dengan kos RM1,000 termasuk bayaran permit, dokumen dan sebagainya.

Katanya lagi ramai pelanggan merungut kerana tidak dapat membeli haiwan yang dijual di kedai kami.

Pelanggan dedahnya terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan pihak sekolah juga sukar mendapatkan stok haiwan baharu.

“Kebanyakan haiwan yang kini dijual di kedai kami semakin berkurangan dan itupun merupakan stok haiwan lama,” katanya.

Selain itu beliau memberitahu bahawa pihak sekolah yang juga pelanggan mereka kerap merungut kerana tidak dapat melakukan eksperimen ke atas haiwan kerana haiwan dibeli untuk tujuan itu tidak lagi dijual di kedai akibat masalah sama.

“Larangan ini memang menyedihkan, kerana ia menjejaskan periuk nasi kami memandangkan kedai haiwan kami merupakan satu-satunya kedai haiwan di daerah ini.

“Kami minta kerajaan agar menarik balik larangan tersebut kerana ia memang menjejaskan perniagaan kami terutama peniaga kedai haiwan di daerah ini,” jelasnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/19/larangan-maswings-jejas-perniagaan-kedai-haiwan/