Lapangan Terbang Bario diharap dinaik taraf

Penduduk berharap landasan yang pendek, dibesar, dipanjangkan bagi tampung pesawat lebih besar

// Oleh Clare Cinderella //

LAWAT: (Dari kiri) Gerawat, Adam, Dr Sim dan Pengguang semasa sidang
media di Lapangan Terbang Miri petang semalam.

LAWAT: (Dari kiri) Gerawat, Adam, Dr Sim dan Pengguang semasa sidang media di Lapangan Terbang Miri petang semalam.

MIRI: Penduduk dan pemimpin kawasan tanah tinggi Bario sekali lagi menyuarakan hasrat mereka agar suatu hari kelak, Lapangan Terbang Bario yang berlandasan pendek dapat dinaik taraf dan diperbesarkan dengan landasan dipanjangkan bagi menampung pesawat lebih besar.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Gerawat Gala berkata pihaknya amat berharap agar Malaysia Airport Berhad (MAB), merealisasikan impian penduduk tanah tinggi tersebut yang amat bergantung kepada pengangkutan udara.

“Jika MAB bersedia memperbesar Lapangan Terbang Bario sedia ada bagi menampung pesawat lebih besar daripada Twin Otter digunakan ketika ini, kami amat mengalu-alukannya,” jelas beliau.

Gerawat yang juga ADUN Mulu berkata penggunaan pesawat kecil Twin Otter yang hanya mampu membawa 15 hingga 19 penumpang termasuk juruterbang, tidak mampu menampung permintaan pelawat yang semakin bertambah.

“Semakin hari, semakin ramai yang mahu datang dan melancong ke Bario, sedangkan kekerapan penerbangan iaitu tiga kali sehari dengan pesawat kecil Twin Otter, tidak mampu menampung permintaan ini.

“Justeru kita merayu, sejak dari dulu, supaya pihak penyedia perkhidmatan, MASwings meningkatkan kekerapan penerbangan ke Bario selain menambah jumlah pesawat,” katanya.

Beliau mengakui ia pasti akan melalui proses yang panjang termasuk kelulusan daripada pihak Kementerian Pengangkutan, namun mereka tetap berharap ia akan dilaksanakan, lebih-lebih lagi Bario kini semakin dikenali dalam industri pelancongan di negeri ini.

“Saya juga mencadangkan agar penerbangan sambungan bagi laluan Miri-Mulu-Bario diwujudkan, bagi merancakkan lagi industri pelancongan di kedua-dua destinasi terbabit yang terletak dalam laluan sama,” tambahnya.

Gerawat memberitahu demikian kepada pemberita pada sidang media di bilik VIP Lapangan Terbang Miri (LTM) di sini, selepas tiba dari Bario petang semalam, bagi mengiringi lawatan pertama Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian pada 4 dan 5 Oktober.

Selain dari Mulu, Gerawat berharap pihak MASwings akan mewujudkan sektor penerbangan sambungan dari Long Seridan dan Long Lellang ke Bario memandangkan kedua-dua kawasan itu masih belum ada akses ke Bario, merupakan pusat bagi daerah kecil di kawasan terbabit.

“Berbanding jalan raya, kita lebih berharap agar perkhidmatan udara yang dipertingkatkan kerana akses melalui jalan darat dari Long Seridan dan Long Lellang ke Bario, amat sukar dilaksanakan dan menelan kos terlalu tinggi disebabkan bentuk muka buminya berbanding jalan udara,” katanya sambil menambah, jalan darat dari Miri ke Bario pula memakan masa selama 11 hingga 12 jam, terutama dalam keadaan cuaca kurang baik.

“Jika cuaca lebih buruk, termasuk kemungkinan berlaku tanah runtuh, hujan lebat yang menyebabkan jalan licin serta berkabus, maka perjalanan akan menjadi lebih lama,” jelas beliau.

Justeru fokus untuk menaik taraf jalan ketika ini katanya, lebih tertumpu kepada jalan-jalan masuk ke kampung di kedua-dua kawasan tersebut, bermula dari jalan pembalakan utama.

“Laluan jalan pembalakan utama diselenggara syarikat konsensi pembalakan, namun beberapa laluan jalan menuju ke kampung pula tidak lagi diselenggara selepas aktiviti pembalakan dihenti menyebabkan penduduk meminta kerajaan mengambil alih semua jalan-jalan tersebut agar ia dapat diselenggara dan dikekalkan demi kemudahan dan keperluan rakyat,” tambahnya.

Gerawat memberitahu, ketika ini projek penyelenggaraan dan menaik taraf jalan fasa pertama membabitkan laluan sepanjang 95 kilometer dari Long Banga ke Bario hampir siap sepenuhnya, manakala fasa kedua pula sudah siap sepenuhnya.

Manakala projek bagi fasa ketiga membabitkan laluan masuk ke kampung-kampung di kedua-dua kawasan akan menyusul tidak lama lagi.

Hadir sama mengiringi Dr Sim dalam lawatan dua hari ke Bario itu ialah Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Pengguang Manggil yang juga ADUN Marudi, ADUN Piasau merangkap Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/06/lapangan-terbang-bario-diharap-dinaik-taraf/