Laksana pengurusan tenaga secara cekap

Majlis Perbandaran harus perkasa penggunaan tenaga boleh diperbaharui, saran Lee

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Semua Majlis Perbandaran (MP) di negeri ini digesa komited melaksana pengurusan tenaga secara cekap termasuk memperkasa penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui secara meluas.

Menteri Muda Perhubungan dan Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata, amalan pengurusan tenaga dalam kerajaan tempatan bukannya inisiatif baharu.

Mengambil contoh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang telah mempraktikkan ISO 50001 dalam sistem pengurusan organisasi mereka, jelas Lee, ia berjaya melaksana pengurangan tenaga sebanyak tiga peratus setiap tahun.

Sejak mempraktik ISO 50001, MPSP turut melancarkan program ISO pada 2013 sekali gus menjayakan langkah pengurangan tenaga, katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian seminar bertajuk Earth Hour City Challenge di sebuah hotel dekat sini, semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Datuk Bandar Lawrence Lai.

Katanya, usaha WWF-Malaysia melalui Earth Hour City Challenge atau EHCC ini juga boleh membantu MBM melangkah ke arah amalan sistem pengurusan tenaga yang sistematik dan lestari.

Seminar berkenaan dianjur Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIDO) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Lee menambah, seminar ini sebagai langkah awal sebelum MBM menyertai program EHCC anjuran WWF-Malaysia.

EHCC satu program menggalak bandar raya serata dunia mengurangkan pelepasan karbon, pengurusan tenaga secara cekap dan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui secara meluas, katanya.

Program EHCC ini julung kali diperkenal di Malaysia pada 2014 dengan penyertaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

MBPJ dan MBSA dipilih sebagai wakil bandar raya Malaysia bertanding di peringkat antarabangsa bersama bandar raya lain serata dunia.

MBPJ memenangi anugerah EHCC peringkat kebangsaan di Malaysia buat julung kali dan layak betanding di peringkat antarabangsa untuk bersaing dengan 47 bandar raya dari 17 buah negara.

Dengan kelebihan EHCC ini, saya berharap MBM akan mengambil keputusan mengemukakan permohonan menyertai pertandingan antarabangsa pada sesi 2015/2016 dengan menyertakan laporan sebelum September 2015, katanya.

Lee menambah, usaha WWF-Malaysia melalui EHCC ini juga boleh membantu MBM melangkah ke arah pengamalan sistem pengurusan tenaga yang sistematik dan lestari.

Hadir sama Timbalan Datuk Bandar MBM Mohd Che Kadir, Ketua Bahagian Pendidikan dan Sektor Awam WWF-Malaysia Thiagarajan Nadeson, Ketua Projek Earth Hour City Challenge WWF-Malaysia Phubalan Karunakaran dan Penolong Pengurus Projek/Pelatih Industrial Energy Efficiency for Malaysian Manufacturing Sector UNIDO Malaysia Kaveta Chelliah.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/05/09/laksana-pengurusan-tenaga-secara-cekap/