Kutip derma tanpa kebenaran
SYAMILAH ZULKIFLI
10 Julai 2014
Share on facebook Share on twitter Share on google_plusone_share More Sharing Services
0
Salah seorang lelaki yang ditahan diminta mengira duit derma yang diperolehi. Salah seorang lelaki yang ditahan diminta mengira duit derma yang diperolehi.
< 1 / 1 >
SEREMBAN Gara-gara mengutip derma tanpa kebenaran, lapan individu termasuk seorang wanita dan dua remaja ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada serbuan, petang kelmarin.
Masing-masing berusia antara 14 sehingga 50-an itu ditahan di sekitar Nilai dan bandar ini ketika sedang mengutip derma sambil memegang tabung yang tertera nama sebuah yayasan yang beroperasi di Kedah.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Mohd Zaki Ahmad berkata, antara lokasi tumpuan serbuan dilakukan ialah di tiga bazar Ramadan antaranya Ampangan, Paroi Jaya dan Taman Semarak, Nilai serta kawasan premis bank.
Lima lelaki dan seorang wanita berusia 20-an sehingga 50-an ditahan di sekitar Seremban, manakala dua remaja lelaki berusia 14 dan 17 tahun ditahan di Nilai.
Kesemua mereka ditahan kerana didapati melakukan aktiviti mengutip derma tanpa kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), katanya pada sidang media diadakan.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penguatkuasaan Bahagian Penyelarasan Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Norliah Sajuri.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mereka didapati mengutip derma di bawah nama satu pertubuhan yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Malah mereka cuba berselindung di bawah nama satu yayasan untuk mengelirukan umat Islam kononnya kutipan itu akan disalurkan kepada masyarakat Islam di Palestin, Syria dan negara Arab lain yang sedang bergolak.
Selain itu katanya, dua remaja itu juga mendakwa melakukan aktiviti terbabit secara sukarela dan kononnya sebagai salah satu tugasan ko-kurikulum mereka.
Kita dapati tiada resit bayaran diberikan kepada mereka yang menderma dan disebabkan ini kita bimbang berlaku penyelewengan kerana tidak tahu berapa jumlah sebenar duit yang terkumpul dan diberi kepada mereka yang memerlukan.
Antara barangan dirampas ialah enam bekas plastik (tong duit), telefon bimbit dan sejumlah wang tunai anggaran lebih dari RM2,000, katanya.
Mohd Zaki berkata, semua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 106 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 kerana mengutip khairat tanpa kebenaran MAINS yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu beliau menasihatkan kepada masyarakat Islam di negeri ini yang bermurah hati menghulurkan derma diminta berbuat demikian kepada yayasan atau pertubuhan yang diiktiraf kerajaan sekali gus memastikan ia sampai kepada mereka yang memerlukan.
Sementara itu operasi berkenaan yang bermula jam 4 petang dan berakhir jam 7 petang membabitkan 25 pegawai dan anggota termasuk dari Jakim.
Tertuduh mengaku tidak bersalah
Dalam perkembangan sama lima lelaki dan seorang wanita berkenaan telah dituduh di Mahkamah Syariah di sini ,semalam atas pertuduhan mengutip derma tanpa mendapat kebenaran daripada MAINS.
Tertuduh, Mohd Sazali Ibrahim, 43; Husaini Jamaludin, 45; Yusnida Harun, 47; Mohammad Kamsani Ramli, 28; Mohd Izuan Hafiz Mohd Razi, 28 dan Mohd Khairi Hussin, 28, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan dibacakan berasingan mereka antara jam 5.05 sehingga jam 7.15 didapati membuat pungutan wang untuk tujuan derma bagi bantuan amal ke Palestin, Jordan, Thailand, Filipina, Indonesia dan Malaysia.
Tabung berkenaan diuruskan oleh Yayasan Hang Tawi Malaysia dan Badan Amal SM Amin tanpa surat kebenaran dari MAINS seperti diperuntukkan oleh Seksyen 106(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.
Oleh itu mereka dituduh di bawah Seksyen 106 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 106(5) Enakmen yang sama.
Terdahulu masing-masing merayu dikenakan wang jaminan rendah kerana melakukan aktiviti terbabit secara sukarela tanpa komisen.
Hakim, Rohaizad Redzuan kemudiannya memutuskan Yusnida, Husaini dan Kamsani dikenakan wang jaminan RM3,000 dengan dua penjamin.
Manakala Mohd Izuan Hafiz dan Mohd Khairi RM2,000 dengan dua penjamin dan Mohd Sazali RM1,500 dengan seorang penjamin.