Kumpulan 'tegur dan samun' tumpas

MIRI: Kebimbangan orang ramai berikutan kehadiran sekumpulan lelaki menggunakan helah ‘tegur dan samun’ sejak tahun lalu, berakhir apabila tiga suspek ditahan polis, bulan lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan di bandar raya ini, pada 24 Januari lalu, hasil risikan dan siasatan polis selepas menerima laporan daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata ketiga-tiga suspek itu disahkan terbabit dalam sekurang-kurangnya tiga kes samun tahun lalu.

Katanya, suspek menggunakan helah menegur pemandu kereta kononnya mangsa terlanggar kucing, menyebabkan mangsa memberhentikan kereta untuk melakukan pemeriksaan.

"Apabila mangsa memberhentikan kenderaan, suspek yang menunggang motosikal akan bertindak agresif dan menyamun mangsa.

“Kebanyakan mangsa adalah wanita dan warga emas. Kejadian biasanya berlaku pada tengah malam atau awal pagi,” katanya.

Meng Seah berkata, ketiga-tiga suspek dikenal pasti menyamun pelbagai barangan milik beberapa mangsa yang bernilai lebih RM15,000.

“Kami yakin penahanan ketiga-tiga suspek dapat menyelesaikan semua kes berkaitan samun yang menggunakan helah sama di bandar raya ini,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/387793/kumpulan-tegur-dan-samun-tumpas