Kuarters k’jaan perlu diselenggara dengan baik

PERLU
DISELENGGARA: Masing (kiri) menunjuk siling bangunan kuarters kerajaan negeri
yang rosak tanpa diselenggara dengan baik dan membahayakan keselamatan
penginap di situ.

PERLU DISELENGGARA: Masing (kiri) menunjuk siling bangunan kuarters kerajaan negeri yang rosak tanpa diselenggara dengan baik dan membahayakan keselamatan penginap di situ.

Masing cadang sebahagian sewa bulanan diguna untuk baik pulih prasarana kuarters kerajaan uzur

Oleh Mohamad Norhadie Sahari //

MIRI: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing mencadangkan agar sebahagian daripada kadar sewa bulanan kuarters kerajaan negeri diguna pakai bagi tujuan penyelenggaraan infrastruktur.

Beliau mengakui kira-kira 60 peratus pegawai kerajaan negeri tinggal di kuarters kerajaan meskipun ada kuarters rosak kerana tidak diselenggara dengan baik.

“Ia mengejutkan saya kerana sepatutnya kuarters kerajaan ini perlu diselenggara dengan baik, pegawai kerajaan tinggal di sana bukan secara percuma tetapi mereka membayar sewa bulanan,” katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri semalam.

Masing menambah, di Miri contohnya kira-kira 300 kuarters kerajaan perlu diselenggara dengan baik kerana ada sebahagian daripada jumlah kuarters terbabit berada dalam keadaan mengecewakan.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar sebahagian kadar sewa bulanan kuarters ini digunakan khas untuk tujuan penyelenggeraan supaya kakitangan kerajaan yang menginap di situ berada selesa dan selamat,” katanya.

Beliau menambah akan membawa perkara itu ke dalam kabinet bagi mencari jalan penyelesaian terbaik menangani isu terbabit termasuk mencari peruntukan khas penyelenggeraan dan pemulihan kuarters.

“Anggaran mereka membayar sewa bulanan kuarters ini antara RM400 hingga RM700 mengikut kadar gaji, jadi mengapa tidak jika sebahagian dari jumlah ini diguna untuk tujuan penyelenggaraan kuarters,” tegasnya.

Terdahulu Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan mendengar taklimat secara tertutup di pejabat JKR Miri.

Dalam perkembangan lain, Masing memberitahu kira-kira 237 jalan perhubungan kampung di luar bandar telah dibina melibatkan pembinaan jalan sejauh 692.8 kilometer.

Masing turut mencadangkan agar perlu ada mekanisme supaya pegawai atau kakitangan JKR yang bertugas di lapangan menggunakan kenderaan yang baharu dan selamat dipandu.

Beliau tidak menafikan ada di antara kenderaaan kerajaan telah diguna pakai melebihi 20 tahun dan rosak, sehubungan itu cadangan agar kenderaan itu hanya diguna dalam tempoh lima tahun adalah tepat.

Masing pada sama turut memuji JKR Miri apabila Indeks Pencapaian Utama (KPI) JKR mencapai lebih 90 peratus berdasarkan pencapaian dalam pembangunan infrastruktur.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pengangkutan, Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Perumahan dan Urbanisasi, Datuk Talip Zulpilip serta Ketua Kejuruteraan JKR Miri Chong Chi Fam, serta pegawai-pegawai JKR Miri.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/06/kuarters-kjaan-perlu-diselenggara-dengan-baik/