Kualiti udara di Sarawak semakin pulih

SRI AMAN: Kualiti udara di Sarawak hampir pulih sepenuhnya hari ini dengan hanya Sri Aman mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat apabila mencatat bacaan 108 pada jam 4 petang.

Sebelas lagi Stesen Pengawasan Udara Automatik mencatat bacaan IPU pada tahap sederhana.

Berdasarkan maklumat laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuching mencatat bacaan 70, Samarahan (63), Sarikei (64), Sibu (65), Mukah (63), Bintulu (59), Samalaju (67), Miri (74), Institut Latihan Perindustrian Miri (75), Kapit (73) dan Limbang (54).

Pesawat Bombardier C415 menggunakan bom air mengawal kebakaran hutan paya gambut di Kuala Baram, Sarawak. - NSTP/Ihsan Maritim Malaysia

Bagaimanapun, kawasan belukar yang masih berasap dengan api tercetus sekali sekala di Kampung STC selain kebakaran yang masih berlaku di Jalan Kejatau dikenalpasti IPU di Sri Aman terus berada pada tahap tidak sihat, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata sehingga petang ini, hanya kira-kira 0.5 hektar sahaja lagi kawasan tanah gambut itu yang masih berasap.

Beliau berkata, pihaknya dengan bantuan beberapa agensi lain berusaha memadam sepenuhnya kebakaran di lokasi berkenaan dengan melaksanakan operasi tanpa henti sejak seminggu lalu.

“Operasi hari ini tertumpu di kawasan yang dikesan terdapat tompokan asap.

“Operasi ‘water bombing’ juga sudah selesai dilaksanakan oleh pesawat Bombadier CL-415 dengan 18 curahan sebanyak 108,000 liter air di kawasan Jalan Kejatau-Lingga,” katanya.

Pemandangan berjerebu di Kuching kualiti udara menunjukkan tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 137 pada 9.30 pagi. - NSTP/L Manimaran

Katanya, helikopter Mi-171 JBPM yang terbabit dalam operasi di Sri Aman sejak tiga hari lalu akan digerakkan ke Miri bagi membantu operasi pemadaman api di hutan Cliff Batu Bungan, di kawasan Gunung Mulu.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/610125/kualiti-udara-di-sarawak-semakin-pulih