KPDNKK ambil tindakan terhadap 21 premis

SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah memeriksa 4,073 premis di seluruh Sarawak semasa Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2016.

Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Abdul Hafidz A Rahim berkata, pihaknya juga mengambil tindakan terhadap 21 kes serta merampas barangan bernilai RM2,650 dan mengeluarkan kompaun berjumlah RM2,800 bagi pelbagai kesalahan.

“Daripada 21 kes ini, 14 kes di bawah Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Tanda Harga Bagi Barang Harga Terkawal) 2016, diikuti Perintah Kawalan Harga (Tanda Harga Oleh Peruncit) 1993 sebanyak enam kes dan satu kes di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” ujarnya kepada pemberita, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2016, yang bermula 3 hingga 14 Febuari lepas.

Di Kuching menurut Abdul Hafidz, sejumlah 1,089 premis diperiksa dan pihaknya mengambil tindakan terhadap sembilan kes, melibatkan rampasan bernilai RM873 dan kompaun sebanyak RM1,100.

Sementara di Sibu katanya, sejumlah 323 premis telah diperiksa dengan dua kes, selain rampasan barang bernilai RM411 dan kompaun sebanyak RM200.

Di Miri, 648 premis telah diperiksa dengan tiga kes, melibatkan rampasan barangan bernilai RM581 dan kompaun sebanyak RM300.

Bagi kawasan Limbang, sejumlah 519 premis telah diperiksa dengan dua kes, Sri Aman 105 premis dengan satu kes dan Kapit 448 premis dengan empat kes.

Abdul Hafidz menambah, tiada kes dicatatkan di Bintulu, Sarikei dan Mukah.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/20/kpdnkk-ambil-tindakan-terhadap-21-premis/