Koperkasa umum agihan keuntungan 17 peratus

KUCHING: Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad (Koperkasa Sarawak) semalam mengumum jumlah keseluruhan pengagihan keuntungannya bagi 2015 sebanyak 17 peratus.

Kadar syer agihan itu merangkumi modal syer sebanyak 8.5 peratus, Modal Yuran Bulanan (MRD) sebanyak 6.5 peratus dan Simpanan Khas Peribadi (dua peratus).

Menurut Pengerusi Koperkasa Sarawak Sajali @ Ismail Ojek, kadar syer itu ditetap mengikut peningkatan keuntungan diperolehi syarikat berkenaan tahun lalu (2015) iaitu sebanyak RM10.5 juta berbanding hanya RM8 juta pada tahun 2014.

“Apabila terbuktinya pencapaian cemerlang ini, kita (Koperkasa Sarawak) terus mengukuh kedudukan kita, malah bekerja lebih gigih lagi khusus bagi mencapai visi utama kita bagi koperasi ini.

“Malah masa sama, kita turut meletakkan sasaran kepada peningkatan jumlah keuntungan Koperkasa Sarawak mencecah RM12 juta tahun ini (2016) menerusi pelbagai rencana dan inisiatif serta projek.

“Ini termasuk menerusi Hotel Place2Stay yang kini sedang diubah suai dan dijangka digunakan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) Julai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperkasa Sarawak Ke-63 di Hotel Pullman di sini semalam.

Antara inisiatif lain turut ditetapkan Koperkasa Sarawak bagi meningkatkan pendapatan, dedahnya, termasuk memohon ‘Land Bank’ daripada kerajaan negeri termasuk di Miri, Kuching dan Bintulu bagi tujuan membina pelbagai projek pembangunan perumahan Taman Koperkasa khusus kepada penjawat awam di seluruh negeri ini.

Sajali turut menggesa penjawat awam dan pekerja Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang belum mendaftar sebagai ahli Koperkasa Sarawak untuk berbuat demikian bagi menikmati manfaat yang disediakan oleh Koperkasa Sarawak kepada setiap ahli yang berdaftar di bawahnya.

“Pada masa sama, kita juga bersetuju memperuntuk sejumlah RM1 juta kepada Tabung Kebajikan bertujuan membantu ahli terlibat dalam malapetaka, inisiatif pendidikan, khairat kematian, alat sokongan perubatan dan perbelanjaan untuk mendapatkan rawatan di hospital,” jelasnya.

Sehingga kini, katanya, Koperkasa Sarawak mempunyai seramai 23,940 ahli dan beliau menjangkakan peningkatan seramai 1,000 ahli pada tahun 2016.

Selain di Kuching yang berperanan sebagai pejabat utama Koperkasa Sarawak, ia juga membuka cawangannya di beberapa tempat di seluruh negeri termasuk Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.

Turut hadir pada sidang media ialah Setiausaha Koperkasa Sarawak Rumi Len, Bendahari Abang Shith Abang Joss serta beberapa ahli lain.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/21/koperkasa-umum-agihan-keuntungan-17-peratus/