Koperasi Sarawak disaran ceburi industri hotel bajet

Manfaatkan kedatangan pelawat yang besar dengan 4.1 juta orang dicatat sehingga Nov tahun lepas

// Oleh Nick Fletcher //

TERIMALAH: Mohd Yusof menyampaikan cenderahati kepada Samat (kanan)
sambil disaksikan Stanley (tengah).

TERIMALAH: Mohd Yusof menyampaikan cenderahati kepada Samat (kanan) sambil disaksikan Stanley (tengah).

KUCHING: Gerakan koperasi perlu memanfaatkan kedatangan pelawat yang besar ke negeri ini untuk berkecimpung dalam industri hotel bajet.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, berdasarkan perangkaan Kementerian Pelancongan negeri, Sarawak merekodkan jumlah pelawat seramai 4.1 juta orang sehingga November tahun lalu.

“Angka pelawat yang besar ini memberi peluang yang cerah untuk pengendalian hotel bajet di negeri ini dan gerakan koperasi juga boleh menceburi perniagaan ini,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal Samat Junai pada majlis penutupan Promosi Program Latihan Maktab Koperasi Malaysia (MKM) Zon Sarawak 2017 di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Maktab Koperasi Malaysia (MKM) Profesor Datuk Mohd Yusof Kasim dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Datuk Stanley Tan.

Menurut Awang Tengah, berdasarkan rekod Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pada tahun lepas, terdapat sebanyak 169 hotel bajet di Sarawak.

Namun demikian, katanya, kerajaan negeri telah menetapkan kriteria semasa mempertimbangkan permohonan hotel bajet di negeri ini.

Jelas beliau, ia merangkumi kesesuaian tapak dengan mengambil kira bandar-bandar utama seperti Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

Selain itu, katanya, premis yang dibenarkan juga adalah hanya rumah kedai dengan penyediaan kemudahan tempat letak kenderaan yang mencukupi termasuk kurang memberi kesan ke atas aliran trafik sedia ada.

Awang Tengah menambah, penukaran status kediaman rumah kedai kepada ‘Inn/Lodging’ juga akan dikenakan bayaran ‘Enhance Premium’ iaitu antara RM2,000 dan RM4,000 bagi setiap tingkat rumah kedai termasuk bergantung kepada saiz tanah.

Di samping itu, beliau berkata tempoh maksimum untuk kegunaan sementara (daripada rumah kedai kepada ‘Inn/ Lodging’) yang ditetapkan adalah 10 tahun.

Malah, katanya, reka bentuk bangunan dan pelan lantai yang dikemukakan hendaklah mematuhi Ordinan Bangunan 1994 dan keperluan bomba.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/26/koperasi-sarawak-disaran-ceburi-industri-hotel-bajet/