Tidak berlaku jika kontraktor terus bekal diesel kepada sekolah mengikut syarat iaitu sehingga 31 Dis 2016
// Oleh Jessica Jawing //
PENJELASAN: Abang Nawawi pada sidang media khas bagi menjelaskan tentang insiden melibatkan terputus bekalan elektrik di sekolah luar bandar yang didakwa berlaku disebabkan kontraktor tidak menghantar bekalan.
KUCHING: Insiden terputus bekalan elektrik di beberapa sekolah luar bandar pada 1 Januari lepas hanya disebabkan sesetengah kontraktor yang tidak bertanggungjawab dengan tidak mematuhi syarat Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pengerusi Jepak Holdings Sdn Bhd Abang Nawawi Abang Drahman berkata perkara itu tidak akan berlaku sekiranya kontraktor terlibat terus membekalkan diesel kepada sekolah berkaitan mengikut syarat diarahkan oleh kementerian iaitu sehingga 31 Disember 2016.
“Bagaimanapun perkara ini dapat dipulihkan oleh kontraktor baharu, iaitu Jepak Holdings Sdn Bhd yang mengambil alih kontrak bermula pada 1 Januari 2017 bagi membantu memperbetulkan keadaan.
“Sekiranya kontraktor yang bakal keluar itu ikhlas mematuhi arahan Kementerian Pendidikan, maka bahan api yang dibekalkan kepada sekolah berkaitan bertahan selama 10 hingga 15 hari selepas penamatan kontrak mereka pada 31 Disember 2016,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang diadakan sebagai respons kepada laporan akhbar pada 1 Januari lepas bahawa sebanyak 369 sekolah luar bandar di seluruh Sarawak terputus bekalan elektrik pada sesi permulaan sekolah ekoran daripada kekurangan bahan api bagi penjana kuasa sekolah.
Nawawi turut menafikan bahawa semua sekolah atau 369 sekolah yang terputus bekalan sebaliknya hanya 30 sekolah atau 10 peratus sahaja yang terjejas iaitu di bahagian utara negeri ini.
Jepak Holdings Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat Bumiputera berpangkalan di Bintulu telah dianugerahkan oleh kementerian bagi membekalkan diesel, mengganti atau membaiki penjana kuasa kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak mulai 1 Januari 2017.
Jepak Holdings merupakan salah satu daripada 30 kontraktor telah diberi kontrak untuk membekalkan diesel kepada 369 sekolah di negeri ini sepanjang dua tahun lalu.
Jepak Holdings diberi tanggungjawab untuk hanya membekalkan diesel ke sekolah di Zon Baram II pada tahun 2015 hingga 2016 sementara di bahagian Dalat dan Mukah pada dua tahun lepas.
Nawawi pada masa yang sama turut menafikan dakwaan seorang ahli politik bahawa insiden terputus bekalan elektrik berkenaan disebabkan kesalahan daripada Putrajaya.
“Saya menafikan kenyataan seorang ahli politik bahawa ia adalah disebabkan oleh Putrajaya kerana kementerian sebelum itu telah mengeluarkan arahan melalui surat bertarikh 16 Disember untuk menghantar bekalan,” tegasnya.
Hadir sama Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa insiden terputus bekalan itu menjejaskan sekolah di bahagian Kapit, Song dan Belaga dengan bilangan tertinggi iaitu 60 sekolah diikuti di bahagian Miri dengan 57 sekolah.
Difahamkan bahawa sekumpulan kontraktor telah diberi ‘Kontrak Bekalan dan Perkhidmatan Elektrik – Tahun 2015-2016’ bagi operasi dan penyelenggaraan penjana kuasa di sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.
Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Pengurusan Aset dan Perolehan telah menghantar surat bertarikh 16 Disember 2016 dengan mengarahkan semua kontraktor terlibat mengisi tangki bahan api di sekolah sebelum tamat tempoh kontrak mereka iaitu pada 31 Disember.
Source: http://miri.my/2017/01/05/kontraktor-punca-elektrik-beberapa-sekolah-terputus/