Komuniti Berawan Long Teru, Tinjar tidak alu-alukan kehadiran pembangkang

GERAN KERAJAAN: Sylvester (empat kanan) menyampaikan geran RM10,000 kepada Ketua Kampung Kajan (enam kanan) di Marudi.

GERAN KERAJAAN: Sylvester (empat kanan) menyampaikan geran RM10,000 kepada Ketua Kampung Kajan (enam kanan) di Marudi.

MIRI: Komuniti Berawan Long Teru,Tinjar tidak mengalu-alukan kehadiran pembangkang atau parti politik yang boleh meracuni pemikiran rakyat menentang Barisan Nasional (BN) dan penyandangnya, Datuk Sylvester Entri Muran.

Timbalan Ketua Wanita PBB Long Teru Dara Kela berkata hanya kerajaan BN termasuk wakil rakyatnya yang mampu melaksanakan projek untuk kesejahteraan penduduk luar bandar.

“Kami tidak mahu pembangkang berada atau hadir di kawasan kami serta cuba mempengaruhi rakyat terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) atau cubaan merebut kerusi DUN Marudi,” katanya di sini semalam.

Menurut Dara, majoriti komuniti Berawan menyokong teguh BN serta Sylvester pada PRN nanti seterusnya mahu agar keperluan dan pembangunan di kawasan luar bandar diteruskan.

“Kami berterima kasih dengan BN dan Sylvester yang membangunkan komuniti Berawan termasuk Persatuan Wanita Berawan untuk bergerak maju,” jelasnya.

Tambahnya, meskipun Berawan Long Teru merupakan kubu kuat PBB dan bukan daripada ahli TERAS namun Entri Sylvester tetap membantu menyerahkan geran kerajaan kepada komuniti itu.

“Dalam lawatan Entri di Rumah Kajan Cigeh, Long Teru, beliau turut menyampaikan cek RM10,000 untuk projek pendaratan helikopter serta RM20,000 untuk kerja-kerja baik pulih jalan Rumah Kajan,” jelasnya.

Dalam lawatan sama, Entri turut mengumumkan geran RM500 setiap pintu kepada 53 pintu rumah terbabit untuk menukar atap baharu.

Sementara itu, Ketua Kaum Kajan Cigeh berterima kasih dengan semua bantuan yang disalurkan kerajaan BN menerusi wakil rakyatnya, Entri.

“Kami bersyukur kerana dapat berhubung dengan dunia luar dengan pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan berbanding sebelum ini bergantung kepada jalan air ke Marudi jika ada kecemasan,” katanya.

Beliau turut memuji Entri yang mengambil berat kebajikan masyarakat Berawan terutama dalam soal kebajikan Rumah Kajan Cigeh.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/25/komuniti-berawan-long-teru-tinjar-tidak-alu-alukan-kehadiran-pembangkang/