Kompleks pendaratan ikan antara paling moden

Oleh Agnes Tugong//

KUCHING: Kerja-kerja pembinaan Kompleks Pendaratan Ikan Tanjung Bako bernilai RM250 juta berjalan lancar dan dijangka siap tepat pada tarikh yang ditetapkan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Irmohizam Ibrahim berkata kompleks itu dijangka menjadi salah satu kompleks termoden dalam negara sebaik siap kelak.

Sebagai makluman, katanya, projek ini telah 62 peratus siap iaitu tiga bulan lebih awal daripada jadual.

“Kompleks ini akan menjadi mercu tanda di Bako dan mampu mendaratkan sebanyak 200 buat bot pada satu-satu masa.

“Ini sekali gus akan meningkatkan taraf sosioekonomi dan menjana pendapatan yang lebih lumayan di kalangan nelayan di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Majlis Makan Malam Jemaah LKIM Bersama Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PENESA) di Sarawak Rivercruise, Tebingan Sungai Kuching di sini kelmarin.

Irmohizam berkata, LKIM tidak pernah meminggirkan nelayan di negeri ini terutama dari segi peningkatan dan program-program untuk membangunkan sosioekonomi mereka.

Sebagai contoh, setakat ini sebanyak 23 pasar nelayan dibangunkan di negeri ini dengan 21 daripadanya telah siap dibina dan boleh digunakan, manakala dua lagi masing-masing sebuah di Bintulu dan Miri dalam proses pembinaan.

“Dengan adanya 23 buah pasar nelayan ini ia menunjukkan bahawa Sarawak merupakan negeri yang paling banyak mendapat peruntukan bagi pembinaan pasar nelayan yang akan menawarkan harga jauh lebih murah antara 20 dan 30 peratus berbanding di pasar-pasar lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, LKIM juga telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM70,000 bagi menaik taraf infrastruktur Premis Agro Bazar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sri Muara.

Manakala, sejumlah RM300,000 lagi diperuntuk bagi menaik taraf Medan Ikan Bakar PNK Buntal dalam usaha membangunkan usahawan di kalangan para nelayan di negeri ini.

“Ini antara perkara baharu hasil kunjungan saya bersama ahli lembaga pengarah LKIM ke negeri ini untuk menunjukkan ketelusan LKIM melahir dan menggerakkan usahawan-usahawan di kalangan nelayan Sarawak,” katanya.

Terdapat seramai lebih 9,000 nelayan di Sarawak dengan 18 persatuan nelayan diwujudkan mengikut kawasan Parlimen.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah LKIM Saadom Wahab, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Datuk Mohamad Dolmat dan Pengarah LKIM Sarawak, Untong Keri.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/20/kompleks-pendaratan-ikan-antara-paling-moden/