Klinik khusus pemeriksaan demam, selsema dan batuk dibuka

PETRA JAYA: Sebuah klinik khusus untuk pesakit yang ada masalah batuk, selsema dan demam dibuka di Sarawak Multipurpose di Stadium Perpaduan di sini, bermula hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata Klinik Penyakit Pernafasan itu beroperasi bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata, klinik itu ditutup pada Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am.

“Klinik ini dikhaskan untuk pemeriksaan dan rawatan mereka yang mengalami masalah demam, batuk dan selsema tetapi tidak ada kontak dengan mereka yang positif COVID-19 atau kes individu dalam siasatan (PUI).

“Klinik ini berbeza dengan pusat saringan di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak yang menyediakan perkhidmatan untuk menyaring mereka yang ada kaitan dengan kes PUI atau positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau klinik itu bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, pembukaan Klinik Penyakit Pernafasan mampu mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik kesihatan.

“Kami berharap kemudahan baharu ini dapat membantu mengurangkan peluang virus merebak dan pemeriksaan serta rawatan adalah percuma,” katanya.

Katanya, selepas di Kuching, pihaknya merancang untuk menyediakan kemudahan klinik sama di tempat lain, khususnya Sibu dan Miri.

Pada hari pertama pembukaan klinik itu, seramai 18 petugas perubatan termasuk doktor bertugas klinik berkenaan dan hampir 150 penduduk memanfaatkannya.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/03/668664/klinik-khusus-pemeriksaan-demam-selsema-dan-batuk-dibuka

© Copyright 2006-2018 MiriCommunity.net · A JacksonLiaw.com project.