KJRI mahu naik taraf khidmat bantu pasangan belum kahwin secara sah

KUCHING: Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kuching sedang dalam usaha untuk menaik taraf perkhidmatan pihaknya dalam membantu pasangan warga Republik Indonesia (RI) yang belum berkahwin secara sah di negeri ini.

Demikian kata Konsul Jenderal RI Kuching Jahar Gultom sambil menambah, pihaknya berhasrat melakukannya bukan sahaja untuk pasangan yang beragama Islam malah Kristian dan lain-lain.

“Pihak kami telah menjalankan persediaan Istbat Nikah yang dilakukan sejak empat bulan lepas, kerana ramai warga RI yang berada di seluruh negeri ini iaitu di Sibu, Miri, Bintulu, Limbang dan sekitar kawasan Kuching.

“Maklumat tersebut telah diedarkan kepada kilang perusahaan dan pemilik ladang di seluruh negeri untuk dimaklumkan kepada para pekerja warga RI yang bekerja di sana.

“Pada awalnya kami menyasarkan 100 pasangan tetapi yang memaklumi pihak kami adalah seramai 191 pasangan.

“Ada juga pasangan ini yang tidak dapat hadir kerana mempunyai masalah dokumen pengenalan diri, ada juga yang perlu berurusan di Indonesia dan ada yang tidak mempunyai wang.

“Jika perkara ini diberitahu lebih awal kami mungkin akan mencari jalan penyelesaian. Akan tetapi ia akan direkod dan kami akan mencuba untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan KJRI di sini tahun depan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sidang Istbat Nikah di KJRI Kuching di sini semalam.

Sementara itu, Majlis Tertinggi Agama dari Jakarta, Mahkamah Agung sudah mengadakan pertemuan dengan KMLU dan Kementerian Dalam Negeri untuk mempergiatkan usaha menggalakkan pasangan warga RI berkahwin secara sah di negeri ini.

Beliau turut menyatakan kesediaan kerajaan negeri dalam membantu melindungi warga RI yang telah berkahwin di sini.

“Hari ini, Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah akan hadir pada Majlis Istbat Nikah di KJRI kerana beliau mahu berkongsi maklumat dan saranan pihaknya.

“Juga menyusul beliau adalah daripada Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen Malaysia serta wakil RI dari Pulau Pinang.

“Pihak kerajaan negeri akan memberi maklumat terperinci tentang hukum dan undang-undang yang turut melindungi mereka agar mereka mendapat ketenangan sewaktu menjalankan tugas masing-masing di negeri ini. Ia adalah sesuatu yang baik,” tegasnya.

Sementara itu, seorang warganegara RI yang hanya mahu dikenali sebagai Selfiah tiba ke KJRI Kuching menggunakan bas dari Miri bersama suami beliau Kahar dan anak perempuan mereka berumur sembilan bulan.

“Kami akan berkahwin lagi!” kata Selfiah ketika ditemui pemberita ketika sedang menyusukan anaknya semalam.

Kahar dan Selfiah sebelum ini menceritakan bagaimana kedua-duanya bertemu di tempat kerja, dan sudah mendirikan rumah tangga selama dua tahun.

Perkara yang sama turut dilalui oleh Kartika Rihi, yang juga tiba dari Miri bersama suaminya Andika Ridwan dan anak kedua mereka.

“Senang,” katanya, apabila ditanya mengenai perasaannya semalam.

Andika hanya tersenyum lebar sementara anak pertama mereka telah pulang ke Miri bersama ibu Kartika.

Kartika berkata mereka telah berkahwin pada 2013 dan bekerja di sebuah ladang di Miri sejak lima tahun lepas.

“Kami merancang untuk pulang ke rumah di Indonesia selepas kami selesai 10 tahun di sini,” katanya kepada pemberita.

Majlis perkahwinan adalah untuk menghalalkan hubungan antara kedua pasangan, bukan sahaja di mata agama, tetapi juga negara,” kata Konsulat Indonesia di Kuching Mohammad Abdullah.

“Kami mempunyai 26 pasangan pada hari Isnin, 32 hari ini (Selasa) dan kami menjangkakan yang paling banyak adalah hari ini iaitu 48 pasangan. Secara keseluruhan 106 pasangan yang akan dinikahkan untuk tahun ini,”tegasnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/28/kjri-mahu-naik-taraf-khidmat-bantu-pasangan-belum-kahwin-secara-sah/