Kiriman dadah guna kurier, penganggur ditahan

LABUAN: Taktik seorang penganggur menggunakan khidmat kurier bagi menerima bekalan dadah, terbongkar selepas ditahan ketika mengambil bungkusan bahan larangan itu di hadapan sebuah pejabat perkhidmatan terbabit di Pekan Baru Labuan di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan bersama sebuah bungkusan mengandungi ketamin dan eramin 5.

Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani, berkata polis membuat pemerhatian sekitar kawasan berkenaan selama 15 minit selepas mengesan suspek tiba di situ.

“Sebaik suspek keluar dari bangunan pejabat kurier terbabit, sepasukan anggota polis menghampiri suspek dari arah belakang dan cuba menahannya.

“Menyedari gerakan polis, suspek bertindak membuang satu kotak dibalut pita pelekat dan cuba melawan untuk meloloskan diri namun berjaya dihalang dan ditahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, hari ini.

Mohd Ibrahim berkata, suspek bersama bungkusan kemudian dibawa ke IPD Labuan untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bungkusan itu mengandungi kotak biskut dan didalamnya ada satu paket plastik mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin dan 10 papan plastik mengandungi 100 biji eramin 5.

“Jumlah berat kasar ketamin adalah 51.26 gram manakala eramin 5 seberat 26.52 gram dan nilai keseluruhan dadah itu adalah RM4,250,” katanya.

Mohd Ibrahim berkata, siasatan awal setakat ini mendapati dadah terbabit dikirim dari Miri dan dipercayai untuk diedarkan dalam kalangan penagih pasaran tempatan.

“Bagaimanapun, kes masih disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/10/621755/kiriman-dadah-guna-kurier-penganggur-ditahan