Kikis amalan takut peraturan tapi mengabaikan keselamatan nyawa: Lee

MIRI: Menjadikan aspek keselamatan sebagai budaya dan amalan perlu ditanam dalam jiwa masyarakat hari ini untuk membantu meningkatkan kesedaran undang-undang secara keseluruhannya.

Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin berkata, mematuhi undang-undang sahaja kerana takut kepada pihak penguat kuasa tidak mencukupi sehingga mengabaikan aspek keselamatan.

“Keselamatan sesuatu melibatkan nyawa. Ia harus ditanam sebagai satu kesedaran untuk diri sendiri, bukan kerana takut undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran Pertubuhan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Miri (MOSHPS) di sebuah hotel di sini semalam.

Menurutnya, kesedaran mengenai keselamatan juga seharusnya menjadi pengetahuan asas dan menjadi amalan tidak mengira tempat.

“Jangan disalah erti aspek keselamatan hanya di tempat kerja sahaja, kerana keselamatan harus dijaga di mana-mana rumah, kawasan awam, tempat kerja dan sebagainya,” katanya.

Justeru, beliau amat menyokong kewujudan MOSHPS dengan fungsinya untuk membudayakan keselamatan setiap ahlinya nanti.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada pertubuhan berkenaan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang.

Sementara itu, Presiden MOSHPS Dr Julian Jolly mengakui bahawa ia tidak semudah disangkakan untuk mewujudkan sesuatu pertubuhan seperti MOSHSP.

“Lebih-lebih lagi ia satu badan yang bukan berasaskan keuntungan dan kita cuba untuk menyatukan semua pengamal keselamatan dan persekitaran pekerjaan (HSE),” ujarnya.

Namun, hasrat untuk menubuhkan MOSHPS akhirnya satu kenyataan oleh kerana memikirkan kepentingan bagi menyatukan para pengamal HSE.

Ia juga atas bantuan kenalan-kenalan dan juga wakil rakyat seperti Lee yang banyak memberi sokongan serta dorongan untuk berbuat demikian.

Turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau Datuk Sebastian Ting dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/06/kikis-amalan-takut-peraturan-tapi-mengabaikan-keselamatan-nyawa-lee/