Keupayaan orang Sarawak terbukti

Beri peluang sama rata dapat latihan, kerja dalam industri minyak, gas

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memberitahu, rakyat Sarawak harus diberi peluang sama rata bagi mendapatkan latihan dan peluang pekerjaan dalam industri minyak dan gas.

Beliau menegaskan, masalah kekurangan tenaga profesional dan teknikal negeri ini tidak sepatutnya berlaku kerana Sarawak merupakan negeri pengeluar minyak dan gas terawal di negara ini.

“Anda masih boleh menemui telaga minyak pertama di Sarawak pada 1910 di Bukit Kanada.

“Selain itu, ramai orang Sarawak bekerja di syarikat minyak dan gas terkemuka di dunia. Ini membuktikan orang tempatan mempunyai keupayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvokesyen Ke-18 Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) di Hotel Pullman Miri, semalam.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ketua Menteri menegaskan, kerajaan sedar peri pentingnya pendidikan teknikal untuk mencapai sebuah negeri industri.

“Kita tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk industri ini kerana dasar pendidikan sebelum ini tidak fokus kepada pendidikan teknikal.

“Namun ia belum terlambat untuk kita fokus bidang pendidikan teknikal dan vokasional agar dapat memenuhi ribuan peluang pekerjaan khususnya di zon industri Samalaju,” katanya.

Adenan turut berterima kasih kepada Petronas atas komitmen membelanjakan sebanyak RM420 juta menyediakan latihan dan pendidikan di Sarawak pada masa hadapan.

Terdahulu Naib Presiden Kanan Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia Petronas, Datuk Raiha Azni Abd Rahman dalam ucapannya berkata, Petronas akan terus komited untuk melatih lebih ramai tenaga mahir dan profesional dalam industri minyak dan gas di kalangan rakyat Sarawak.

“Bagi menzahir sokongan holistik itu, syarikat ini melabur sebanyak RM420 juta bagi tempoh 2015 hingga 2019 dalam pembangunan manusia dan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, komitmen syarikat itu tidak akan terjejas meskipun penurunan harga minyak di pasaran dunia masih berlaku.

Sementara itu seramai 385 pelatih dari Sarawak bergraduan semalam dalam Program Teknologi Petroleum, Elektrikal, Instrumentasi, Mekanikal, Maklmal dan Operasi Pengeluaran dan Pemprosesan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas Technical Training Sdn Bhd (PTTSB) Chandramohan M. Saminathan dan Residen Miri Antonio Kahti Galis.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/12/keupayaan-orang-sarawak-terbukti/