Kesesakan trafik Hospital Miri akan selesai

Projek pembinaan kawasan letak kenderaan baharu siap sepenuhnya dua minggu lagi

// Oleh Rosemaria Buma //

LAWAT: (Dari kiri) Sebastian, Lee, Adam dan Dr Jack melawat tapak projek sambungan bangunan Pakar 5 Hospital Miri semalam.

LAWAT: (Dari kiri) Sebastian, Lee, Adam dan Dr Jack melawat tapak projek sambungan bangunan Pakar 5 Hospital Miri semalam.

MIRI: Masalah kesesakan trafik di Hospital Miri dijangka akan selesai tidak lama lagi apabila projek pembinaan kawasan letak kenderaan baharu siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong berkata projek itu mendapat kelulusan setelah pihaknya menerima peruntukan RM200,000 daripada Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, setelah melalui beberapa proses projek itu hanya bermula awal November lalu dan dijangka siap sepenuhnya awal Disember depan.

“Sehubungan itu, orang awam yang berurusan di Hospital Miri dinasihati supaya bersabar kerana masalah kesesakan berlaku sekarang akan selesai tidak lama lagi.

“Kami ingin memohon maaf atas segala kesulitan dihadapi mereka selama ini,” katanya ditemui ketika mengiringi Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Pengerusi SUPP Piasau Datuk Sebastian Ting dan Pengerusi SUPP Pujut Adam Yii melawat tapak projek itu semalam.

Menurut Dr Jack, buat masa sekarang kontraktor dilantik baharu sahaja menyiapkan kerja-kerja membina perparitan dan seterusnya menurap permukaan jalan sebelum dapat dibuka untuk kegunaan orang awam.

Katanya apabila siap nanti kawasan letak kenderaan baharu itu mampu menampung sebanyak 160 kenderaan pada satu masa dan akan dibuka sepenuhnya untuk kegunaan orang awam.

Berkaitan cadangan laluan keluar alternatif dari pekarangan hospital di hadapan letak kenderaan baharu, Dr Jack berkata setakat ini Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak membuat sebarang bantahan berhubung perkara itu.

“Namun demikian laluan alternatif itu hanya bersifat sementara dan akan diubah pada masa depan,” katanya.

Selain itu, mereka turut melawat tapak projek lain iaitu sebuah bangunan setingkat yang merupakan sambungan bangunan untuk Pakar 5.

“Apabila siap nanti, projek menelan kos RM190,000 ini mampu memberi keselesaan kepada pesakit mendapatkan rawatan di Pakar 5, Hospital Miri,” katanya sambil memberitahu projek tersebut dijangka siap hujung tahun ini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/23/kesesakan-trafik-hospital-miri-akan-selesai/