Kes tiga lelaki dituduh bunuh kayong disebut lanjut hari ini

TAHAN
LANJUT: Ketiga-tiga tertuduh dieskot keluar dari bangunan mahkamah menuju ke
kenderaan polis.

TAHAN LANJUT: Ketiga-tiga tertuduh dieskot keluar dari bangunan mahkamah menuju ke kenderaan polis.

MIRI: Mahkamah Tinggi semalam menetapkan hari ini, 4 Januari untuk sebutan lanjut kes tiga lelaki yang dituduh membunuh pemimpin PKR Miri, Bill Kayong.

Manakala, ketiga-tiga tertuduh yang akan dibicarakan bersama diperintah supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Dr Alwi Abdul Wahab setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noor Fadzila Ishak.

Terdahulu dalam permohonannya, Fadzila memohon agar kes itu disebut lanjut hari ini bagi membolehkan kes tertuduh keempat, Datuk Stephen Lee Chee Kiang disebut dan dibicarakan bersama ketiga-tiga tertuduh terbabit.

Katanya, pada 30 Disember lalu, Mahkamah Majistret memerintahkan kes Stephen Lee dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan lanjut.

Justeru, beliau memohon agar kes itu disebut lanjut hari ini bagi membolehkan keempat-empat tertuduh dibicarakan bersama kelak.

Mohamad Fitri Pauzi, 29, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.20 pagi, 21 Jun lalu di persimpangan lampu isyarat berdekatan pasar raya Emart (Tudan), Jalan Miri-Bintulu.

Manakala, dua lagi tertuduh iaitu Lie Chang Loon, 37, dari Taman Pin Fook dan Chin Wui Chung, 50, dari Lorong 5 Krokop di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh telah bersubahat dengan Lee Chee Kiang, 44, dan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri untuk membunuh Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/04/kes-tiga-lelaki-dituduh-bunuh-kayong-disebut-lanjut-hari-ini/