Kes serang, PKR Baram mahu ketua kaum mohon maaf

MIRI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baram semalam menuntut permohonan maaf daripada ketua kaum sebuah rumah panjang di Nanga Ajoi, Tinjar atas tindakan menyerang salah seorang ahli parti itu, ketika program lawatan ke rumah panjang berkenaan pada 18 Februari lalu.

Setiausaha PKR Baram Dennis Along ketika ditemui di sini semalam, berkata ketua kaum terbabit melakukan serangan secara lisan dan fizikal ke atas mangsa yang juga pembantu kepada bakal calon PKR di Marudi Elia Bit, ketika mengadakan lawatan ke rumah panjang berkenaan.

“Kami membuat laporan polis di Balai Polis Long Lama atas kejadian itu dan meminta polis menjalankan siasatan terperinci terhadap serangan terhadap salah seorang pembantu Elia.

“Sekarang, kami menuntut ketua kaum terbabit tampil memohon maaf secara terbuka kepada parti dan mangsa.

“Kami memberi beliau tempoh seminggu untuk berbuat demikian,” katanya sambil menambah bahawa kejadian itu mencemarkan imej PKR.

Dennis menegaskan bahawa jika ketua kaum terbabit gagal berbuat demikian, mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/29/kes-serang-pkr-baram-mahu-ketua-kaum-mohon-maaf/