Kes rompak, samun di Padawan, Bau selesai

Polis berjaya selesai enam kes, tiga lelaki Indonesia ditangkap dalam Ops Rantau

// Oleh Jeremy Lanson //

KEJAYAAN: Dev (dua kanan) bersama Fazri (kanan) serta KBSJD Padawan ASP Sofian (kiri) menunjukkan barang-barang yang berjaya ditemui daripada tiga warga Indonesia tersebut.

KEJAYAAN: Dev (dua kanan) bersama Fazri (kanan) serta KBSJD Padawan ASP Sofian (kiri) menunjukkan barang-barang yang berjaya ditemui daripada tiga warga Indonesia tersebut.

KUCHING: Polis percaya berjaya menyelesaikan enam kes rompak dan samun berkumpulan di daerah Padawan dan Bau dengan tertangkapnya tiga lelaki warga Indonesia dalam Ops Rantau, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata dua daripada suspek ditangkap di Batu 29 Jalan Kuching-Serian pada jam 1 pagi dan seorang lagi di sebuah rumah kongsi di Sungai Moyan, Batu Kawa pada jam 5.30 pagi.

Kesemua suspek dalam siasatan awal didapati terlibat dalam enam kes rompak dan samun berkumpulan iaitu yang pertama pada 27 Disember lalu di sebuah rumah di Jalan Batu Kawa dan terbaharu di Jalan Field Force pada 6 Februari lalu.

Menurutnya, empat kes lagi adalah pada 15 Januari di Jalan Lubang Angin, Bau, diikuti di Taiton,Bau pada hari berikutnya (15 Januari), seterusnya di Taman Kim Cho Seng, Batu Kawa dan Jalan Matang-Batu Kawa (5 Februari).

“JSJ Serian menahan sebuah kereta di Batu 29 Jalan Kuching-Serian sekitar jam 1 pagi dan pemeriksaan di dalam kereta menemui beg yang mengandungi dua komputer riba, 11 telefon bimbit, barang kemas dan sebilah parang.

“Justeru, dua lelaki warga Indonesia berusia 18 dan 22 tahun yang berada di dalam kereta tersebut ditahan dan hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 31 tahun di Sungai Moyan,” kata Dev.

Beliau berkata demikian pada dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dekat sini, semalam.

Difahamkan tangkapan yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Serian ASP Mohd Fazri Yusof itu juga mendapati hanya seorang sahaja daripada suspek mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka(suspek) datang ke sini (Sarawak) hanya untuk melakukan jenayah(samun) dan kami percaya mereka tidak bekerja dengan mana-mana pihak.

“Disebabkan itu tidak mudah untuk menangkap mereka, kerana setiap kali selepas melakukan jenayah mereka akan terus melintasi sempadan dan balik ke negara asal,” kata Dev lagi.

Sementara itu, Dev turut memberitahu bahawa pihaknya sedang memeriksa status kereta jenis Daihatsu Charade yang digunakan dua daripada suspek semasa ditahan.

“Buat masa ini (semalam), tiada laporan kereta tersebut dilaporkan hilang dan kami masih menjalankan siasatan selain cuba mengesan pemiliknya,” katanya.

Dev selain itu, turut berkata sebanyak 28 kes samun berkumpulan dengan modus operandi yang sama telah dilaporkan berlaku di seluruh Sarawak pada tahun lepas.

“Bagaimanapun, pada awal tahun ini, pasukan D9 IPK Sarawak telah menumpaskan empat ahli kumpulan dalam kejadian tembak menembak di Bintulu dan sejak itu, tiada lagi kes samun berkumpulan berlaku di Bintulu, Sibu dan Miri.

“Adalah diharapkan dengan tangkapan tiga suspek ini, kes rompak dan samun berkumpulan akan berhenti di kawasan Bau dan Padawan,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/10/kes-rompak-samun-di-padawan-bau-selesai/