Kes bunuh Bill Kayong selesai

KUCHING: Polis percaya berjaya menyelesaikan kes pembunuhan Bill Kayong selepas penemuan senapang patah yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa dalam kejadian yang berlaku pada 21 Jun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata senapang tersebut berjaya ditemui dari rumah seorang daripada enam suspek di Jalan Hai Nam Lama, Miri sekitar jam 5 petang semalam.

Menurutnya, turut ditemui ialah beberapa butir peluru termasuk satu kelongsang peluru yang telah digunakan.

“Hasil siasatan pada jam 5 petang tadi (semalam), seorang daripada suspek membawa pasukan penyiasat ke rumahnya di Jalan Hai Nam Lama dan menunjukkan tempat dia menyembunyikan senapang patah yang dipercayai digunakan untuk membunuh Bill Kayong.

“Senapang patah dan beberapa butir peluru termasuk satu kelongsong yang telah digunakan berjaya ditemui dari rumah tersebut dan kemudian dirampas untuk siasatan lanjut.

“Justeru, dengan tangkapan suspek-suspek dan rampasan senapang patah ini, kita yakin kes pembunuhan Bill Kayong berjaya diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataannya di sini, semalam.

Mazlan bagaimanapun memberitahu bahawa pihaknya masih lagi mengesan beberapa suspek yang masih bebas.

“Butir-butir lanjut mengenai suspek-suspek yang masih bebas belum dapat didedahkan pada masa ini dan pasukan kita juga sedang mengemas kini siasatan dengan tujuan menuduh suspek-suspek yang terlibat di mahkamah,” katanya.

Mangsa (Bill) ditembak mati ketika menunggu dalam keretanya di persimpangan lampu isyarat E-Mart, Tudan, Miri dan hasil bedah siasat serta siasatan forensik mendapati mangsa ditembak menggunakan senapang patah.

Bagaimanapun, tiada saksi yang tampil ke hadapan membantu siasatan dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat kejadian serta persekitaran yang merakamkan kejadian itu.

“Dari mulanya, polis telah menghadapi cabaran menyelesaikan kes ini dan pada hari berikutnya, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penubuhan satu pasukan khas yang diketuai KJSJ SAC Dev Kumar.

“Selain itu, beberapa pasukan dari Bukit Aman yang mempunyai kepakaran tertentu juga telah datang ke Miri untuk membantu pasukan khas ini.

“Hasil siasatan yang dijalankan, enam suspek berjaya ditangkap bersabit kes ini dan mereka terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia 22 hingga 41 tahun,” katanya.

Sementara itu, Khalid melalui laman Twiternya turut mengucapkan tahniah kepada Polis Sarawak kerana berjaya menyelesaikan kes tersebut dengan tertangkapnya enam suspek serta penemuan senjata yang digunakan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/07/06/kes-bunuh-bill-kayong-selesai/