REMAN LANJUT: Dua daripada enam suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk direman lanjut tujuh hari lagi.
MIRI: Enam suspek termasuk seorang wanita ditangkap berhubung kes tembak mati pemimpin PKR Miri, Bill Kayong diperintahkan Mahkamah Majistret di sini pagi semalam supaya direman lanjut tujuh hari lagi.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan reman lanjut dikemukakan pegawai penyiasat kes.
Terdahulu itu, semua suspek berusia antara 22 hingga 41 tahun direman selama tujuh hari bermula 1 Julai lalu dan berakhir pagi semalam mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Bagaimanapun, memandangkan siasatan lanjut polis masih belum dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut, justeru pegawai penyiasat memohon tempoh reman dilanjutkan tujuh hari lagi.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan semua suspek direman sehingga 15 Julai ini.
Berdasarkan permohonan reman terdahulu, keenam-enam suspek ditangkap di beberapa lokasi berasingan pada malam 30 Jun dan awal pagi 1 Julai untuk membantu siasatan lanjut polis berhubung kes tembak tersebut.
Source: http://miri.my/2016/07/09/kes-bill-kayong-enam-suspek-direman-lanjut-tujuh-hari/