Kerja keras dan berani hadapi cabaran Hi Rope wajar dicontohi: Masing

RASMI: (Dari kiri) Kesong, Marilyn, Franklin dan Masing bersama-sama
menyempurnakan upacara memotong kek. Turut kelihatan Richard Wil (kanan) dan
Nyalau (dua kanan) di Miri malam kelmarin.

RASMI: (Dari kiri) Kesong, Marilyn, Franklin dan Masing bersama-sama menyempurnakan upacara memotong kek. Turut kelihatan Richard Wil (kanan) dan Nyalau (dua kanan) di Miri malam kelmarin.

MIRI: Kerja keras dan berani menghadapi cabaran dalam bidang perniagaan hingga menjadikan Hi Rope Engineering (Malaysia) Sdn Bhd (Hi Rope) sebuah syarikat berjaya hari ini wajar dijadikan contoh oleh syarikat Dayak lain.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar James Masing memuji usaha dan kecekalan pasukan pengasas dan kakitangan Hi Rope bekerjasama menentukan kecemerlangan dan prestasi syarikat tersebut.

“Hi Rope sebuah syarikat tempatan dimiliki kaum Dayak telah mengambil langkah berani dan mencabar dalam bidang perniagaan sekali gus berjaya bersaing dengan syarikat lain yang sudah bertapak dan mempunyai nama besar.

“Justeru, kejayaan besar Hi Rope kebanggaan kepada kaum Dayak,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahunan Hi Rope di sini, malam kelmarin.

Sehubungan itu, Masing berharap Hi Rope mampu mempunyai potensi untuk melakukan kerja penyelenggaraan seperti bangunan-bangunan tinggi, menara dan kawasan sukar yang perlu diperiksa dengan kualiti kerja membanggakan.

Terdahulu, Pengarah Hi Rope Franklin Kesong berkata syarikat itu ditubuhkan tiga tahun lalu dan memberi kesan amat positif kepada semua juruteknik di peringkat global.

“Bukan sahaja rakyat Malaysia menjalankan latihan di Hi Rope, tetapi juga warga asing dari United Kingdom, Filipina, Brunei dan banyak lagi.

“Hi Rope layak memberi bimbingan dan latihan kerana mempunyai semua kemudahan yang diperlukan,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak, Pengerusi PRS Senadin Richard Wil Uban, Setiausaha Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) Terence Temenggong, Ketua Pegawai Eksekutif Hi Rope Engineering (M) Sdn Bhd Kesong Mopeng dan isteri Marilyn Ulas.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/10/kerja-keras-dan-berani-hadapi-cabaran-hi-rope-wajar-dicontohi-masing/