Kerapu 70.8KG bukti Miri kaya ikan saiz gergasi

Pemancing bertuah, Hii Sii Sing bukan sahaja membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 sebagai juara, malah turut menerima habuan tambahan RM3,000 lagi yang ditawarkan kerana berjaya memecahkan rekod tersebut.

Ikan dipancing Hii terlalu jauh mengatasi kedudukan kedua dan ketiga, masing-masingnya dimenangi oleh peserta dari China yang berjaya mendaratkan ikan tuna spesies dogtooth seberat 39.20kg dan ikan laut dalam, escolar seberat 36.40kg.

Kedua-dua mereka masing-masingnya membawa pulang hadiah wang tunai masing-masing berjumlah RM6,000 dan RM3,000.

Manakala tempat keempat menerima hadiah wang tunai RM1,500 diikuti tempat kelima RM1,000 dan tempat keenam hingga ke-15 menerima wang tunai RM800, bagi kategori individu.

Sementara bagi kategori berkumpulan pula yang terdiri daripada tiga pemancing, tempat pertama dimenangi pemancing dari China dengan jumlah tangkapan (ketiga-tiga) mereka seberat 50.20kg sekali gus memenangi hadiah wang tunai RM5,000.

Kumpulan yang memenangi naib juara ialah campuran pemancing dari Malaysia dan China, yang berjaya mendaratkan tangkapan seberat 41.90 kg. Mereka memenangi hadiah wang tunai RM3,000.

Tempat ketiga kategori berkumpulan jatuh kepada pemancing dari Brunei Darussalam, terdiri daripada Mohamad Nizam, Rajimi Bujang dan Pengiran Norhazman, berjaya mendaratkan jumlah tangkapan seberat 31.75kg memenangi hadiah wang tunai RM2,000.

Semua pemenang di atas, masing-masingnya turut menerima sijil yang diiktiraf oleh penganjur dan peralatan memancing jenama Shimano.

Seramai 141 peserta daripada 12 negara, telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut, yang berlepas ke laut dalam pada 23 April dan kembali semula ke titik penamat di Marina Bay, di sini pada pagi 26 April (semalam).

Ketibaan peserta bersama tangkapan mereka, telah disambut oleh Menteri Muda Perhubungan merangkap Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin dan Datuk Bandar Miri Lawrence Lai.

Sementara itu, Lai yang gembira dengan penyertaan yang semakin menggalakkan pada setiap tahun, berkata pertandingan tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Pemancing Miri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan disokong oleh Kerajaan Negeri Sarawak, bertujuan untuk mempromosikan Miri sebagai destinasi sukan memancing berkelas dunia.

Selain mempromosi Miri daripada aspek pelancongan, ia juga sempena meraikan ulang tahun ke-10 Miri sebagai bandar raya, jelas beliau lagi.

Destinasi popular bagi sukan memancing laut dalam Miri ialah di sekitar kawasan terumbu karang Luconia, yang bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian batu karang tetapi juga kaya dengan pelbagai spesies marin termasuk ikan pelbagai saiz.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/04/27/kerapu-70-8kg-bukti-miri-kaya-ikan-saiz-gergasi/