Kerajaan tidak lepas pandang kes penculikan empat pekerja kapal

PERJELAS: Wee (dua kanan) dan Lee (dua kiri) mengulas mengenai isu
penculikan rakyat Sarawak pada sidang media semalam.

PERJELAS: Wee (dua kanan) dan Lee (dua kiri) mengulas mengenai isu penculikan rakyat Sarawak

pada sidang media
semalam.

MIRI: Kerajaan akan menggunakan segala saluran betul bagi membuat rundingan mengenai kes penculikan empat pekerja kapal tunda rakyat Sarawak di perairan Pulau Ligitan dekat Semporna, Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong berkata kerajaan tidak pernah lepas tangan dalam soal keselamatan rakyat, malah berusaha mencari jalan membebaskan kesemua mangsa.

“Insiden penculikan lapan lelaki bersenjata di Sabah baru-baru ini luar kawalan kerajaan, meskipun begitu kerajaan tetap mencari jalan penyelesaian terbaik serta membantu mententeram keluarga mangsa,” katanya.

Wee berada di Miri sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 berkata demikian pada sidang media selepas ditanya taktik pembangkang menggunakan isu keselamatan empat rakyat Sarawak itu dalam kempen pilihan raya.

Mengulas lanjut, Wee berkata calon pembangkang hanya mengambil kesempatan ke atas isu terbabit sebaliknya tidak berusaha mencari jalan penyelesaian dalam masalah nasional.

“Ia bukan kes pertama melibatkan penculikan rakyat Malaysia sebaliknya kita sudah berpengalaman membuat rundingan dalam kes ini dan kerajaan sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Tambahnya, taktik pembangkang menuduh kerajaan tidak berbuat apa-apa dalam menyelesaikan kes itu amat dikesali sebaliknya kerajaan telah campur tangan serta memahami perasaan keluarga mangsa.

“Mereka hanya tahu membangkitkan emosi rakyat sebaliknya tidak mampu berbuat apa-apa termasuk mencari jalan membebaskan keempat-empat mangsa jika dibandingkan dengan usaha dilaku kerajaan,” katanya.

Empat rakyat Sarawak dari Sibu, Wong Teck Pang, 31, Wong Teck Chi, 29, serta sepupu mereka, Johnny Lau, 21 dan Wong Hung Sing, 34 diculik lapan lelaki bersenjata dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.

Terdahulu Wee mengadakan lawatan ke Bilik Operasi Pilihan Raya Kawasan DUN Senadin dan bertemu dengan calon yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Lee Kim Shin.

Wee turut berkata pertembungan parti pembangkang sesama sendiri bagi kerusi pilihan raya Sarawak telah jelas membuktikan Pakatan Harapan tidak bersatu dan sepakat dalam pembahagian kerusi.

“Sebab itu kita lihat pembangkang kelihatan kelam-kabut apabila gagal mencapai kata sepakat dalam soal meletakkan calon yang menyaksikan pertembungan mereka di beberapa kerusi,” jelasnya.

Beliau pada masa sama berharap pengundi Cina khasnya di kawasan DUN Senadin memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) agar suara mereka akan didengar dalam kerajaan yang dibentuk nanti.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/27/kerajaan-tidak-lepas-pandang-kes-penculikan-empat-pekerja-kapal/