MIRI: Kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia harus pandang serius laporan 30 peratus kanak-kanak peribumi tidak ke sekolah menengah seperti kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau mengakui perkara itu berdasarkan beberapa faktor mungkin menyumbang kecenderungan tidak melanjutkan pelajaran setelah tamat sekolah rendah.
“Terdapat beberapa faktor seperti kekangan kewangan dari aspek kemampuan keluarga, masalah dalaman, kurang motivasi dan tidak mencapai keputusan peperiksaan memberangsangkan ketika sekolah rendah antara puncanya,” katanya kepada Utusan Borneo.
Beliau berkata demikian untuk mengulas mengenai laporan mengenai 30 peratus kanak-kanak peribumi tidak ke sekolah menengah dalam laporan yang dibuat wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark Hattingh.
Perkara itu dikatakan ketika ucapan pada majlis perasmian Persidangan Pendidikan Penduduk Asal Malaysia Siri Kedua (MIPCE2) pada Selasa lalu di Kuching.
Menurut Dennis, perkara itu memang diakui berlaku di kawasan luar bandar dan pedalaman kawasan Telang Usan namun kini mungkin sedikit berubah kerana tahap kesedaran terhadap pendidikan mula meningkat.
“Sebab kita lihat sudah ramai juga melanjutkan bukan sahaja ke peringkat menengah, malah peringkat universiti juga institusi kemahiran setelah tamat sekolah menengah,” jelasnya lagi.
Katanya, ini kerana peningkatan kesedaran penduduk serta ibu bapa yang mahu anak mendapat pendidikan terbaik.
“Kesedaran supaya anak mendapat pekerjaan baik dan masa depan terjamin juga mungkin sudah mulai mengubah pendapat generasi terdahulu mengenai pendidikan.
“Sebab sudah ramai sedar untuk mendapat pekerjaan baik maka melalui pendidikan satu-satu caranya,” ujar Dennis.
Menurut Marianne, Malaysia hampir mencapai status pendidikan rendah sejagat dengan kadar pencapaian 96 peratus namun 30 peratus kanak-kanak masyarakat peribumi atau asli tidak pernah melanjutkan persekolahan ke sekolah menengah.