Kerajaan persekutuan diingat serius tepati segala janji

Oleh Jessica Jawing, Agnes Tugong, Rusnan Mustafa, Mohd Shafik Ahmad dan Siti Aisyah Ramli//

KUCHING: Kerajaan persekutuan diingat untuk lebih serius dalam menepati janji serta tidak memandang remeh usaha kerajaan negeri dalam memperjuangkan autonomi dan penurunan kuasa kepada negeri ini.

Tegas dengan kenyataan itu, Abdullah Saidol (BN-Semop) berkata, setiap harapan yang telah dijanjikan sebelum pilihan raya negeri (PRN) lalu, semestinya dinantikan rakyat di negeri ini untuk menjadi realiti.

“Lebih-lebih lagi apabila ia melibat peruntukan, perkara lain boleh datang kemudian tetapi semestinya kita sebagai rakyat mahu melihat lebih besar peruntukan untuk tujuan pembangunan dapat dinikmati.

“Rakyat juga telah me-nunjukkan sokongan kuat kepada Barisan Nasional (BN) apabila kita memenangi 72 kerusi daripada 82 yang dipertandingkan dan ini jelas menunjukkan bahawa rakyat percaya dengan kepimpinan Tok Nan (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem).

“Akan tetapi, ia tidak memberi sebarang makna sekiranya kita tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi daripada kerajaan persekutuan terutama untuk pembangunan kawasan luar bandar di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di Kompleks DUN Baharu, di sini semalam.

Justeru jelasnya, kerajaan negeri perlu tegas serta serius dalam inisiatifnya sekali gus berharap akan menerima perkhabaran dan keputusan konkrit berhubung autonomi dan penurunan kuasa sewajarnya sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang dijadual pada 2018.

“Sekali lagi saya tegaskan, setiap janji yang diutarakan oleh kerajaan persekutuan pada PRN lalu jangan diambil mudah dan sambil lewa malah jangan cepat beranggapan bahawa Sarawak akan sentiasa menjadi fixed deposit mereka (persekutuan).

“Jika banyak janji tidak tertunai maka usaha kita untuk menuntut pelbagai perkara termasuk hal autonomi dan penurunan kuasa juga bakal tidak mendapat jawapan konkrit,” tegasnya.

Terdahulu ketika beliau membacakan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, keadaan berlaku sedikit tegang apabila beliau disampuk oleh Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) yang mempertikaikan kedudukan rakyat luar bandar di bawah pemerintahan kerajaan BN persekutuan.

Abdullah yang juga me-rupakan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Basional (BNBBC) menempelak ke-nyataan Chong dan menyifatkannya sebagai sombong dan angkuh kerana hanya memikirkan kedudukan dan pangkat sepanjang masa sebagai falsafah politik mereka.

“Kota Sentosa (Chong), sekarang kamu dengar apa yang saya cakap. saya anak Bumiputera dan ramai di sini (dewan) adalah orang Bumiputera, kami warga pedalaman dan sejak sekian lama berkorban, kamu fikir Kuching, Bintulu, Miri itu semua secara asalnya?

“Kami berkompromi, ber-korban sehingga kita menu-buhkan bandar di Kuching, Bintulu, Miri, Sibu dan sebagainya, itu adalah pengorbanan kami di desa.

“Dan, sekarang apabila masyarakat kamu sudah ada kemudahan elektrik, air, jalan dan sebagainya, kamu mempersoalkan kedudukan kami (pedalaman), biar kami menjaga maruah kami, kamu tidak ada hak untuk mempersoal kami,” katanya tegas.

Tambahnya, sekiranya pembangkang terutamanya Parti Tindakan Demokratik (DAP) masih tidak mempunyai hati untuk rakyat dan terus dengan kesombongan, parti itu pasti akan kalah lagi dalam PRU akan datang.

Sebelum itu, Chong mencelah ucapan Abdullah dengan bertanyakan soalan, kerajaan BN persekutuan telah meme-rintah negara Malaysia selama lebih 50 tahun, justeru berapa lama lagi tempoh diberi kepada mereka membangun-kan kawasan luar bandar agar selari dengan pembangunan di kawasan bandar?

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/11/kerajaan-persekutuan-diingat-serius-tepati-segala-janji/