Kerajaan negeri berusaha angkat taraf Orang Ulu setanding kaum lain: KM

MIRI: Taraf hidup kaum Orang Ulu akan terus diangkat oleh kerajaan negeri agar setaraf kaum kaum lain selaras gagasan 1Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, masyarakat Orang Ulu sudah jauh bergerak ke arah tahap kehidupan lebih baik berbanding 50 tahun lalu tetapi itu belum mencukupi.

Antara usaha kerajaan negeri kata Adenan ialah memberi suara lebih termasuk dua kawasan DUN baharu melibatkan kaum itu agar mereka tidak ketinggalan.

“Dua kawasan itu ialah DUN Mulu untuk kaum Kelabit dan DUN Murum untuk kaum Kenyah dan Kayan.

“Memang menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan setiap masyarakat, khususnya kumpulan minoriti mempunyai peluang untuk sama-sama maju seiring dengan masyarakat lain,” ujarnya.

Perkara itu dijelaskan dalam teks ucapan beliau pada majlis kesyukuran ulangtahun ke 50 Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) di sini malam kelmarin.

Teks disampaikan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan Majlis turut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri akan meneruskan usaha menghubungkan pedalaman Belaga dan Baram dengan membawa prasarana walaupun berdepan kesukaran akibat masalah keluasan dan bentuk muka bumi berbukit bukau.

“Kerajaan sedar bahawa Orang Ulu sudah banyak berhijrah ke bandar untuk mencari kehidupan lebih baik, tetapi masih ramai lagi terus tinggal di pedalaman Belaga, Kapit dan Baram. Kerajaan memberi perhatian serius terhadap mereka yang menetap di kawasan pedalaman,” jelasnya.

Adenan memberitahu, kerajaan membelanjakan RM1 billion dalam tempoh dua tahun ini menyediakan kemudahan prasarana dan kemudahan lain di kawasan luar bandar seperti pembinaan jambatan Long Lama.

Projek-projek empangan hidro Bakun dan Murun memungkinkan jalan rayadibina di Belaga, Bakun, Sungai Asap dan Murum disertai penyediaan kemudahan lain seperti bekalan elektrik, sekolah dan klinik.

Mengulas tentang OUNA, Adenan berkata 50 tahun merupakan perjalananlama tetapi OUNA tetap terus berfungsi sebagai badan bukan kerajaan yang menjaga kepentingan dan hak kaum Orang Ulu.

OUNA berkhidmat menerajui usaha memelihara budaya dan kepentingan Orang Ulu yang mempunyai 26 suku kaum dan begitu banyak sub etnik.

Sehubungan itu, beliau menggesa Orang Ulu daripada pelbagai sub etnik dan sub dialek terus bersatu dengan memberi penekanann kepada persamaan bukan perbezaan.

“Nasib dan kejayaan Orang Ulu bergantung kepada usaha gigih dan kreativiti untuk menggunakan peluang sedia ada mengejar pembangunan,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/05/kerajaan-negeri-berusaha-angkat-taraf-orang-ulu-setanding-kaum-lain-km/