MIRI: Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes ‘pulau galau’ dan ‘pemakai menoa’ sebagai tindakan yang akan menghapuskan salah satu hak masyarakat Dayak di negeri ini, sebagai orang asal ke atas tanah yang diwarisi turun-temurun.
Presidennya, Mejar (B) Kapten Collin Imran mengakui kekalahan Tuai Rumah (TR) Sandah Tabau dan tujuh yang lain dalam kes tuntutan ‘pulau galau’ dan ‘pemakai menoa’ di Mahkamah Persekutuan, pada 20 Disember lalu, memberi tamparan hebat kepada seluruh masyarakat Dayak di negeri Sarawak.
“Kekalahan tersebut bermakna Mahkamah Persekutuan telah tidak mengiktiraf tanah adat masyarakat Dayak iaitu ‘pulau galau’ dan ‘pemakai menoa’ sekali gus menghapus hak masyarakat Dayak sebagai orang asal (native) ke atas tanah yang diwarisi turun-temurun.
“Jika kekalahan ini menjadi penanda aras undang-undang dalam menentukan tuntutan serupa pada masa akan datang maka boleh dikatakan masyarakat Dayak, setelah 54 tahun menjadi warganegara Malaysia, telah kehilangan sesuatu yang amat berharga,” tambahnya.
Keadaan tersebut katanya, akan menyukarkan lagi tuntutan terhadap tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), yang sudah sekian lama sukar mendapat pengiktirafan daripada jabatan yang berkaitan.
Katanya, ini dapat dilihat daripada banyaknya pemberian PL oleh kerajaan kepada syarikat persendirian tempatan mahupun asing kerana kebanyakan PL tersebut merangkumi kawasan tanah adat seperti ‘pemakai menoa,’ ‘pulau galau’ dan tanah ‘temuda,’ serta menimbulkan perbalahan antara pemaju dengan masyarakat tempatan sehingga mengorbankan nyawa.
Justeru menurut Collin, rumusan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Majlis Adat Istiadat yang menterjemahkan ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ seperti diperjelaskan di dalam Majlis Adat Istiadat 1993, sebagai tidak mempunyai bidang kuasa undang- undang di Sarawak adalah sesuatu yang amat menyedihkan bagi masyarakat Dayak.
Kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing yang memberitahu bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan tidak mengiktiraf ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’, disebabkan tiada definasi jelas dan tepat tentang perkara tersebut, adalah alasan tidak dapat diterima.
Sehubungan itu, Collin berkata PEDAS mewakili majoriti masyarakat Dayak menuntut supaya kerajaan negeri mengembalikan semula hak masyarakat Dayak ke atas tanah adat serta menggubal semula Kanun Tanah sedia ada dengan memasuk dengan jelas peruntukan undang-undang bagi mengiktiraf tanah NCR termasuk ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ dan menamatkan pertikaian yang tidak berkesudahan, jika benar ia mempertahankannya.
Sementara itu, perbicaraan terhadap tuntutan TR Sandah dan tujuh lain, telah berlangsung sekian lama dengan mereka memenangi kes tersebut sebanyak dua kali iaitu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, di antara Kerajaan Negeri Sarawak serta Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Negeri Sarawak.