Kenderaan perdagangan bayar RM400 naik feri

Penguang marah pengusaha feri kena kadar tambang terlalu tinggi ke atas kenderaan perdagangan

// Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil semalam melahirkan rasa kesal dan marah dengan tindakan pengusaha feri yang mengenakan kadar tambang terlalu tinggi ke atas kenderaan perdagangan menggunakan khidmat feri menyeberangi Sungai Baram.

Bagi setiap kenderaan perdagangan menggunakan perkhidmatan feri ke Marudi untuk menyeberangi Sungai Marudi itu, pengusaha telah mengenakan tambang antara RM100 hingga RM400 bagi setiap perjalanan.

Sedangkan kadar tol ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Sungai-Sungai Sarawak (Tambang Feri) 2004, Seksyen 38 (1) (0) adalah RM3 untuk setiap lori atau bas kurang daripada lapan tan metrik (MT), RM5 bagi kapal tangki/lori lebih lapan MT dan RM10 untuk masing-masing traktor/treler dan kategori muatan tumbuhan.

Penguang yang terkejut dengan kadar tersebut berkata, alasan yang diberikan pengusaha feri Marudi itu juga tidak boleh diterima.

Sehubungan itu beliau mahu agar tindakan disifatkannya tidak masuk akal itu dihentikan segera dan mengajak pengusaha feri terbabit untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Miri pada 20 Julai bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Bayaran dikenakan terlalu tinggi, hingga mencecah RM400 dengan pihak pengusaha feri memberikan saya 1001 alasan yang tidak boleh diterima,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

“Antara sebab dikemuka kepada saya tidak banyak lori yang melalui Jalan Miri-Marudi kerana masih rosak dan sedang diselenggara ketika ini.

“Namun saya memberitahu mereka bahawa ia bukan urusan mereka (mempersoal kenapa jumlah lori lalu di jalan berkenaan terkawal) kerana proses penyelenggaraan jalan berkenaan ketika ini ialah di bawah pengawasan CMS dan JKR,” katanya.

Penguang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, berkata beliau akan membawa perkara itu kepada JKR yang merupakan agensi pemantau untuk dibincangkan pada mesyuarat pada 20 Julai ini, di sini kelak.

Beliau memberitahu bahawa JKR juga telah menulis dua surat amaran kepada pengusaha feri terbabit kerana mengenakan tambang melebihi kadar yang ditetapkan, malah beliau sendiri turut menerima banyak aduan berkaitan tambang feri meragukan itu, dengan menggesa pihak berkuasa bertindak tegas.

Surat amaran terakhir yang dikeluarkan oleh Jurutera JKR Bahagian Miri Chong Jit Fam pada 28 Mac tahun ini, yang menyatakan ini adalah surat amaran kedua selepas surat pertama yang dikeluarkan sebelum ini pada Mei tahun lepas.

Sementara itu, ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon dalam sidang media oleh DAP di sini semalam, menggesa kerajaan dan Penguang untuk memberi perhatian terhadap aduan orang ramai terhadap pengusaha feri yang telah mengenakan kadar tambang terlalu tinggi dan tidak masuk akal itu.

Dr Ting turut menerima aduan daripada orang awam khususnya masyarakat peniaga, berkata tindakan oleh pengusaha itu adalah tidak rasional dan ia bercanggah sama sekali dengan kadar tambang feri mengikut peraturan yang telah ditetapkan seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, tahun lepas.

“Saya menerima aduan daripada masyarakat peniaga di Marudi yang mendakwa bahawa mana-mana trak kurang daripada tiga MT perlu membayar RM100 manakala lori melebihi 10 MT dan treler pula masing-masingnya dikenakan RM300 dan RM400,” ujar Dr Ting kesal.

Sementara itu, tambang perkhidmatan feri merentasi Sungai Baram itu diturun daripada RM15 kepada RM1 bermula dari 29 Mei tahun lepas oleh Ketua Menteri selaras dengan dasar yang ditetapkan di seluruh negeri ini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/07/14/kenderaan-perdagangan-bayar-rm400-naik-feri/