Kena rogol bawah tangki
KUALA LUMPUR: Gelora asmara seorang gadis yang berhajat melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya dalam kereta di kawasan tersorok berakhir dengan tragedi apabila dia diculik sebelum diperkosa beramai-ramai.
Mangsa yang baru berusia 18 tahun, diperkosa bergilir-gilir tiga lelaki yang menyamar anggota polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin, pasangan terbabit yang menaiki sebuah kereta Honda dikatakan menuju ke arah Empangan Klang Gate di Taman Melawati, Hulu Klang.
Bagaimanapun, mereka yang berada dalam keadaan mencurigakan tiba-tiba ditahan tiga lelaki yang menaiki motosikal di kawasan terbabit.
Sumber polis berkata, kumpulan lelaki terbabit kemudian memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum menyoal siasat mangsa dan kekasihnya.
Menurutnya, tiga lelaki terbabit kemudian mengugut membawa pasangan berkenaan ke balai polis kerana didakwa melakukan kesalahan berkelakuan sumbang.
Pada masa sama, suspek mengugut pasangan kekasih itu supaya membayar RM3,000 jika tidak mahu dibawa ke balai polis.
Malangnya pasangan terbabit memberitahu tidak membawa wang sebanyak itu menyebabkan mereka diarahkan keluar dari kereta, katanya.
Menurutnya, seorang daripada `polis palsu itu kemudian mengarahkan gadis berkenaan membonceng motosikalnya dengan alasan hendak dibawa ke balai polis berdekatan.
Mangsa yang ketakutan akur dengan arahan terbabit sebelum membonceng motosikal ditunggang seorang daripada lelaki terbabit.
Bagaimanapun, kata sumber itu, gadis berkenaan dibawa ke kawasan semak berhampiran Tangki Air Gombak milik Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Sebaik tiba di lokasi terbabit, gadis itu digari dan diugut supaya tidak melawan dan akan dibunuh jika enggan mematuhi arahan.
Mangsa dipaksa melakukan seks oral. Tidak lama kemudian, dua lagi rakan penjenayah muncul sebelum memaksa gadis itu melakukan perbuatan sama, katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dirogol bergilir-gilir oleh ketiga-tiga suspek sebelum ditinggalkan bersendirian di kawasan terbabit.
Selepas penjenayah beredar dari situ, gadis itu terpaksa berjalan kaki turun dari bukit berkenaan dan meminta bantuan orang ramai.
Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak sebelum dihantar mendapatkan rawatan, katanya.