Kempen keselamatan jalan raya diperhebat

PANDU SELAMAT: Lee memasang topi keledar kepada seorang penunggang motosikal sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Pasukan Berprestasi Tinggi di Taman Awam, Miri semalam.

MIRI: Kerajaan akan terus memperhebat kempen keselamatan jalan raya setiap tahun bagi meningkat kesedaran pengguna jalan raya agar kes kemalangan dapat dikurang dan kemalangan maut dapat dielak.

Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin berkata, walaupun jumlah kemalangan jalan raya di Miri sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini menurun 245 kes berbanding 269 kes tempoh sama tahun lepas, namun usaha perlu ditingkat mengurangkan jumlah itu.

“Antara faktor kemalangan itu berpunca kecuaian pengguna jalan raya sendiri. Justeru, saya menasihat pengguna agar membudayakan keselamatan jalan raya dan mengutamakan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Pasukan Berprestasi Tinggi di Taman Awam, di sini semalam.

Ia dianjur bersama JKJR Sarawak dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak, JKJR Miri, pejabat Residen Bahagian Miri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Miri dan Sarawak Shell Berhad.

Lee juga merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sarawak menambah, jumlah kes kemalangan maut di Miri pada tahun ini ialah 3 kes berbanding 4 kes pada 2015.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/28/kempen-keselamatan-jalan-raya-diperhebat/