Keluarkan lesen penangkapan, pemerdagangan buaya

Populasi buaya di Sg Sibuti dan Sg Niah meningkat ketara, reptilia kedua-dua sungai itu juga besar dan ganas

// Oleh Mohamad Norhadie Sahari //

MIRI: Sarawak Forestry Corporation (SFC) perlu mengeluarkan lesen kepada penduduk tempatan untuk membenarkan penangkapan dan pemerdagangan buaya di sini bagi tujuan komersial.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata populasi buaya di Sungai Sibuti dan Sungai Niah mencatat peningkatan ketara bahkan reptilia di kedua-dua sungai itu besar dan ganas.

“Sungai Sibuti dan Sungai Niah mencatat populasi buaya yang meningkat dan situasi itu membimbangkan penduduk setempat terutama mereka yang mencari rezeki di sungai,” katanya di sini semalam.

Ahmad Lai mengakui terdapat kes serangan buaya berlaku di sungai terbabit disebabkan populasi buaya semakin berkembang manakala sumber makanan dalam sungai kian merosot.

“Sebab itu kita mahu SFC memberi lesen kepada penduduk tempatan yang mempunyai kepakaran untuk menangkap buaya seterusnya menjual reptilia itu untuk tujuan komersial,” jelasnya.

Kerajaan katanya, menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah membenarkan aktiviti penangkapan dan pemerdagangan daging buaya serta kulitnya ke luar negara.

“Menterinya Dato Sri Wan Junaidi Tunku Jaafar meluluskan menerusi Apendik II, mengatakan kita boleh menangkap buaya berlebihan untuk diperdagang termasuk kulitnya ke Taiwan, Kemboja, Vietnam, China dan negara lain,” jelasnya.

Bersetuju dengan cadangan itu, Ahmad Lai turut berharap SFC mengeluarkan lesen kepada pakar-pakar buaya tempatan untuk menangkap buaya yang berlebihan untuk dikomersialkan.

“Kita amat bimbang jika buaya ini dibiarkan membiak dalam populasi yang semakin banyak, maka tidak mustahil reptilia ganas itu akan menyerang jika bertembung dengan manusia,” tegasnya.

Menurutnya, terdapat pihak yang berminat menangkap reptilia itu namun disebabkan tiada lesen, mereka tidak berani menangung risiko namun perkhidmatan mereka diperlukan dalam kes serangan buaya.

Sehubungan itu katanya, adalah wajar lesen menangkap buaya bagi tujuan komersial dikeluarkan bagi mengimbangi populasi buaya dalam sungai terutama di kawasan yang banyak sumber makanan sungai (ikan, udang, dan sebagainya).

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/15/keluarkan-lesen-penangkapan-pemerdagangan-buaya/