Keluarga, individu, institusi terima Anugerah Maal Hijrah

Oleh Saleman Senin//

SEKOLAH AGAMA CONTOH: SK Agama Majlis Islam Sarawak Bintulu.

SEKOLAH AGAMA CONTOH: SK Agama Majlis Islam Sarawak Bintulu.

BETONG: Menerapkan ilmu agama dalam membesar dan mendidik enam anak sehingga berjaya dengan pelbagai pencapaian, melayakkan keluarga Tuah Junaidi dan Hasiah Bunsu dari Kampung Stugang, Lundu menerima Anugerah Maal Hijrah Keluarga Contoh di Betong semalam.

Sementara Rektor UiTM Kampus Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Hamali yang merupakan anak kelahiran Sri Aman menerima Anugerah Pegawai Awam Contoh.

Beliau telah berkecimpung selama 28 tahun dalam perkhidmatan awam dan pernah menyandang pelbagai jawatan akademik.

Anugerah Masjid Contoh diberikan kepada Masjid Darul Istiqamah, Kampung Luak Miri. Anugerah Surau Contoh pula diberikan kepada Surau Darul Muafiqin, Saratok.

Anugerah Sekolah Rendah Agama Contoh disampaikan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Majlis Islam Sarawak, Bintulu.

Untuk Anugerah Pelajar STPM Cemerlang dianugerahkan kepada Askhairunisa Alwi dari Jalan Demak, Petra Jaya Kuching yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg, Kuching yang memperolehi semua A dalam mata pelajaran diambilnya.

Kini beliau melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam pengkhususan Ijazah Sarjana Muda Linguistik.

Bagi Anugerah Pelajar SPM Cemerlang diberikan kepada Siti Nurfatihah Aidel dari Taman Peony, Jalan Matang Kuching dan merupakan bekas pelajar Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, Petra Jaya Kuching yang mendapat keputusan cemerlang 7A+ dan 2A dalam peperiksaan dan kini merupakan mahasiswa di International Medical University Kuala Lumpur.

Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha serta isteri masing-masing.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/03/keluarga-individu-institusi-terima-anugerah-maal-hijrah/