ADA GAYA: Ahmad Lai (dua kanan) duduk atas motosikal berkuasa tinggi ketika merasmikan Perjumpaan Mingguan Motosikal di pekarangan Stadium Miri kelmarin.
MIRI: Kelab-kelab motosikal berkuasa tinggi dari Brunei Darussalam, Bintulu dan Miri menyertai Perjumpaan Mingguan Motosikal di Stadium Miri kelmarin.
Pengerusi penganjur Khalid Ashari berkata selain mengadakan perjumpaan bersama peminat motosikal, turut diadakan ialah tapak jualan makanan dan minuman di lokasi yang sama.
“Kira-kira 70 peniaga kecil mengambil bahagian dalam aktiviti ini yang merupakan anjuran bersama Persatuan Usahawan Anak Sarawak Bahagian Miri dan Kelab Sukan Rekreasi Permotoran Y15ZR Miri,” katanya di sini semalam.
Program itu bertujuan mempromosikan sukan permotoran serta pelbagai makanan dan minuman sihat.
Turut diadakan acara sampingan seperti karaoke, pertandingan mewarna dan perlawanan persahabatan.
“Kami merancang pelbagai program tahun depan dengan menarik lebih ramai penyertaan daripada pemilik motosikal berkuasa tinggi dan peniaga,” katanya.
Program itu dirasmikan Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang dan turut dihadiri Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarkawi Suhaili.
Source: http://miri.my/2016/12/13/kelab-motosikal-berkuasa-tinggi-adakan-perjumpaan-mingguan/