Kekuatan Sarawak, Johor platform kukuh kerjasama

Penerbangan terus antara faktor Sarawak dipilih negeri pertama Misi Pelancongan XPLORE Johor

// Oleh Nick Fletcher //

LANCAR: Abdul Wahab memukul gong sebagai simbolik pelancaran Program Misi
Pelancongan XPLORE Johor di Kuching semalam. Turut kelihatan Mohd Gadaffie.

LANCAR: Abdul Wahab memukul gong sebagai simbolik pelancaran Program Misi Pelancongan XPLORE Johor di Kuching semalam. Turut kelihatan Mohd Gadaffie.

KUCHING: Kekuatan daya tarikan yang ada di Sarawak dan Johor, ditambah dengan adanya perkhidmatan penerbangan yang menghubungkan kedua-dua negeri perlu dijadikan sebagai satu platform memperkukuh hubungan kerjasama khususnya dalam bidang pelancongan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri Johor melalui Tourism Johor telah memilih Sarawak sebagai negeri pertama untuk menjalankan Program Misi Pelancongan XPLORE Johor sebagai langkah permulaan untuk kedua-dua negeri mengetengah serta mempromosikan produk serta perkhidmatan pelancongan masing-masing untuk menarik kedatangan pelancong khususnya dalam usaha menggalak pelancongan domestik.

Menurut Pengarah Tourism Johor Mohd Gadaffie Abd Aziz, salah satu sebab kukuh Johor memilih Sarawak untuk misi tersebut ialah kerana kedua-dua negeri mempunyai penerbangan terus.

“Sarawak dan Johor mempunyai hubungan yang amat baik dan kami melihat banyak potensi melalui kerjasama antara kedua-dua negeri.

“Johor mempunyai penerbangan terus ke Kuching, Sibu dan Miri di mana penerbangan ke Kuching misalnya hanya memakan masa sejam setengah dengan kekerapan tiga kali sehari.

“Selain itu, terdapat ramai rakyat Sarawak di Johor iaitu lebih kurang 40,000 orang,” katanya pada majlis pelancaran Program Misi Pelancongan XPLORE Johor di Hotel Hilton di sini, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Abdul Wahab Aziz bagi mewakili Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Sementara itu, Abang Johari menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Abdul Wahab mengalu-alukan usaha Tourism Johor tersebut sambil menjelaskan ketibaan domestik juga menjadi ‘deposit tetap’ bagi pelancongan Sarawak yang telah menunjukkan peningkatan 8.9 peratus pada tahun lepas.

“Pada tahun lepas, pelancongan domestik telah menyumbang 2.02 juta ketibaan ke Sarawak dengan 1,115,258 adalah dari Semenanjung Malaysia.

“Maka itu, kami turut menjadikan pasaran domestik daripada Semenanjung Malaysia dan Sabah sebagai tumpuan pasaran di dalam industri pelancongan Sarawak,” katanya.

Sarawak merupakan salah satu destinasi pelancongan yang sangat digemari baik oleh pelancong domestik mahupun antarabangsa kerana mempunyai daya tarikan dan keunikan tersendiri iaitu kaya dengan pelbagai etnik, budaya serta alam semula jadi seperti Taman Negara Gunung Mulu yang mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Dunia UNESCO, Kampung Budaya Sarawak, Taman Negara Bako dan banyak lagi.

Johor juga tidak kurang hebatnya kerana turut mempunyai daya tarikan pelancongan tersendiri iaitu berasaskan sejarah dan warisan, pulau dan pantai, alam semula jadi, golf, agropelancongan, inap desa, kesenian dan kebudayaan serta makanan tempatan seperti laksa Johor, mi rebus, otak-otak, mi bandung dan sebagainya.

Selain itu, Johor juga mempunyai beberapa taman tema iaitu Legoland Malaysia yang merupakan taman tema pertama seumpamanya di Asia, Puteri Harbour Indoor Theme Park, Austin Heights Water Theme Park dan Angry Birds Activity Park.

Johor juga mempunyai destinasi membeli-belah terkenal yang menawarkan barang-barang berjenama seperti Gucci, Prada, Coach pada kadar harga yang istimewa dengan diskaun sehingga 70 peratus iaitu Johor Premium Outlet yang terletak di wilayah Iskandar Malaysia.

Manakala, menjelang tahun 2017-2018, pusat peranginan Desaru akan mula beroperasi yang menawarkan perkhidmatan pusat penginapan bertaraf lima hingga enam bintang, padang golf bertaraf antarabangsa yang direka bentuk oleh pemain golf handalan dunia iaitu Ernie Els dan Vijay Singh, Water Adventure Park dan pusat konvensyen.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/23/kekuatan-sarawak-johor-platform-kukuh-kerjasama/