Kekal semangat perpaduan rumah panjang, seru Dennis

Orang Ulu harus bersatu hati walaupun tinggal di bandar

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Masyarakat Orang Ulu khususnya menetap di bandar perlu mengekal semangat perpaduan di rumah panjang dengan mengadakan lebih banyak aktiviti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, mereka tidak harus melupakan semangat saling menolong dan bersatu hati yang masih menebal dalam kalangan penduduk rumah panjang.

“Walaupun jarang pulang ke rumah panjang dan tinggal di bandar, namun suasana perpaduan dan saling beramah mesra itu dapat diamal di sini dengan menubuhkan satu jawatankuasa,” katanya.

Jelasnya, jawatankuasa ini bertanggungjawab menganjur pelbagai aktiviti sebagai platform kepada penduduk kampung bertemu termasuk mengadakan aktiviti bersama di rumah panjang, bezanya kali ini di bandar.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Hari Keluarga Lepo Abong (Long Julan dan Long Pelutan) di Luak Esplanade, kelmarin.

Kira-kira 150 penduduk dari Long Julan dan Long Pelutan hadir bagi memeriahkan sambutan hari keluarga yang diserikan dengan persembahan kebudayaan.

Dennis seterusnya memuji jawatankuasa kampung Lepo Abong yang mengambil inisiatif mengadakan hari keluarga kali ketiga tahun ini.

“Program seumpama ini dapat mengeratkan hubungan antara generasi muda dan tua. Sehubungan itu saya berharap penduduk dari rumah panjang yang lain di Telang Usan dapat mencontohi jawatankuasa kampung ini,” katanya.

Beliau turut mengumumkan geran berjumlah RM5,000 untuk jawatankuasa Hari Keluarga Lepo Abong untuk membiayai aktiviti tahunan mereka.

Dalam pada itu, Dennis mengingatkan generasi muda dan mereka yang berpendidikan bekerjasama dengan ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung khususnya dalam memberi idea untuk membangun kampung mereka.

Katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem selaku Pengerusi Barisan Nasional serius melaksanakan pembangunan di seluruh Sarawak khususnya kawasan luar bandar seperti Telang Usan.

Dennis berharap sokongan berterusan daripada rakyat di Telang Usan bagi memastikan kesinambungan pembangunan di Telang Usan dan masa depan rakyat.

Hadir sama Ketua Kaum Supen Taja, Ketua Kaum James Mato dan pengerusi penganjur Leonard Laing.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/12/kekal-semangat-perpaduan-rumah-panjang-seru-dennis/