Kedai makan kotor diarah tutup

MIRI: Sebuah kedai makan di pusat komersil Pelita diarah tutup oleh pihak berkuasa kerana beroperasi dalam keadaan kotor.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata premis itu antara 14 premis makanan diperiksa tahap kebersihan dalam operasi pemeriksaan MBM dan Jabatan Kesihatan Miri pada 31 Mac lalu.

“Kedai tersebut diarah tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 selama 14 hari kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih,” katanya.

Menurut Lawrence, dalam tempoh tersebut pengusaha diminta membersih kedai mereka sebelum dibenarkan berniaga semula.

Pihak berkuasa akan melakukan pemeriksaan susulan untuk memastikan premis tersebut benar-benar bersih dan lulus peraturan ditetapkan.

Selain itu, sebanyak lima notis kompaun berjumlah RM2,800 telah dikenakan kepada peniaga-peniaga tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Antara kesalahan ialah pengusaha didapati tidak mengikuti latihan mengendalikan makanan, tidak menjalani pemeriksaan kesihatan dan tidak mendapat vaksinasi atau suntikan typhoid (demam kepialu).

“Selain itu, kita mendapati pengendali makanan tidak mengenakan pakaian yang sesuai atau peralatan perlindungan seperti topi, apron dan kasut,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengusaha menitikberatkan aspek kebersihan dan kesihatan agar makanan yang disediakan adalah siha

Menurut Lawrence, semua pengendali makanan harus menjalani pemeriksaan kesihatan, mendapat suntikan typhoid dan menjalani latihan sebelum membuka premis makanan.

Operasi pemeriksaan bersama Jabatan Kesihatan Miri dilaksanakan setiap bulan memastikan pengusaha kedai makanan di sini mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Pemeriksaan dilakukan oleh 15 pegawai.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/13/kedai-makan-kotor-diarah-tutup/