Kebanggaan Sibu

Oleh Andy Sabang//

SYABAS:  Lu menunjukkan slip peperiksaan SPMnya selepas memperolehi 11A+ dalam semua mata pelajaran.

SYABAS: Lu menunjukkan slip peperiksaan SPMnya selepas memperolehi 11A+ dalam semua mata pelajaran.

SIBU: Lu Lei Chee membanggakan warga Sibu khasnya SMK Tiong Hin apabila menjadi pelajar tunggal di Sarawak yang memperolehi 11A penuh dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2015 yang keputusannya diumumkan semalam.

Beliau antara tiga pelajar Sibu mendapat A+ dalam kesemua mata pelajaran.

Dua lagi pelajar ialah Courtney Tang dari SMK Methodist dan Christopher Ling dari SMK Sacred Heart yang masing-masing meraih 10A+.

Semasa ditemui, Lu memberitahu beliau sangat terkejut dan gembira sejurus dimaklumkan keputusan tersebut.

“Saya telah melakukan yang terbaik dan saya amat berpuas hati dengan pencapaian ini,” ujar beliau.

Lu yang merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik turut berasa terkejut kerana memperoleh A+ dalam Bahasa Cina.

Menurutnya, beliau hanya menyasarkan B+ untuk Bahasa Cina kerana ia agak sukar baginya.

“Saya sangat terkejut dan saya tidak menyangka sama sekali bahawa Bahasa Cina saya mendapat A+,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan, sebagai persediaan menghadapi SPM, beliau memperuntukkan tiga jam sehari bagimengulang kaji mata pelajaran, selain turut menghadiri kelas tuisyen bagi mata pelajaran Biologi, Bahasa Cina, Matematik Tambahan, Fizik dan Perakaunan.

“Saya terpaksa mengikuti kelas tambahan untuk memantapkan lagi pemahaman dalam subjek-subjek yang bermasalah,” tambahnya.

Ditanya perancangan beliau selepas ini, Lu memberitahu beliau tidak sabar untuk memasuki Tingkatan 6.

“Saya mahu menjadi seorang ahli farmasi dan saya berharap saya dapat melakukannya,” jelas beliau.

Sementara itu, pada sidang akhbar semalam, Pegawai Pelajaran Bahagian Wong Chung Kung berkata, seramai 11 pelajar di negeri ini mendapat A+ dalam semua mata pelajaran.

Selain tiga di Sibu, empat daripada mereka di Kuching, Miri (3) dan Baram (1).

“Terdapat 138 pelajar memperoleh A (A+ dan A-) di Sibu yang mana 51 pelajar dari SMK Methodist, 21 pelajar dari SMK St Elizabeth, manakala SMK Tung Hua serta SMK Sacred Heart masing-masing 14 orang,” katanya.

Beliau menambah, di Sibu terdapat 3,568 pelajar yang menduduki SPM tahun lepas, bagaimanapun hanya 3,448 yang hadir mengambil peperiksaan.

“Kadar lulus untuk SPM tahun ini adalah 85.5 peratus di mana 2,948 pelajar di bahagian ini layak menerima sijil mereka,” katanya sambil menambah, kadar kelulusan tahun lalu ialah 83.45 peratus.

Beliau berkata, Gred Purata Sekolah (GPS) kekal sama seperti tahun lepas iaitu 4.53 dan SMK St Elizabeth mencatatkan GPS terbaik di Sibu iaitu 2.97 walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding 2.83 tahun lalu.

SMK Methodist pula mencatakan GPS 3.27, SMK Sacred Heart (3.49) dan SMK Tung Tua (3.85), katanya.

“Ini adalah empat sekolah yang mendapat mata kurang daripada 4.00 dalam GPS mereka,” jelasnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/04/kebanggaan-sibu/