Kawasan pelantar minyak kaya sumber perikanan

Ia menarik perhatian nelayan asing terutama kaum Suluk kembali semula ke perairan negeri ini

// Oleh Clare Cinderella //

TUMPUAN PATI: Kawasan sekitar pelantar minyak menjadi tumpuan pelbagai
jenis ikan turut menjadi tumpuan nelayan asing dengan menjadikannya lokasi
baharu di perairan Miri dan Bintulu.

TUMPUAN PATI: Kawasan sekitar pelantar minyak menjadi tumpuan pelbagai jenis ikan turut menjadi tumpuan nelayan asing dengan menjadikannya lokasi baharu di perairan Miri dan Bintulu.

MIRI: Kawasan pelantar minyak kaya dengan sumber perikanan menjadi tumpuan pelbagai ikan termasuk ikan besar berkualiti menarik perhatian nelayan asing untuk kembali semula ke perairan negeri ini.

Nelayan asing kaum Suluk dari selatan Filipina menjadikan pelantar-pelantar minyak sebagai lokasi menangkap ikan baharu dengan menukar taktik daripada menunda pukat kepada menggunakan joran-joran pancing.

Nelayan Suluk didakwa menangkap ikan berhampiran kawasan pelantar minyak E11, Bokor, Betty dan Tukau di perairan Bintulu dan Miri.

Menurut nelayan dari Miri, Camberi Bakar nelayan terbabit pergi ke kawasan pelantar dengan berangkat awal pagi atau pada lewat malam ke laut menangkap ikan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa yang meronda sekitar perairan.

“Ketika ini fokus mereka memancing menggunakan joran menangkap ikan sekitar kawasan pelantar minyak dan ketika musim udang semuan atau bubuk, mereka juga tidak ketinggalan menangguk sama serta bersaing dengan penduduk tempatan,” katanya di sini semalam.

Menurut Camberi, sejak beberapa hari lalu ketika keadaan cuaca buruk dan laut bergelora dengan kapal-kapal kecil tidak dibenarkan turun ke laut, semua bot nelayan dilabuhkan di kawasan masing-masing termasuk rumah-rumah bot terdapat bot nelayan asing dilabuhkan di beberapa kawasan di sini.

Beliau memberitahu, terdapat dua bot nelayan asing turut dilabuhkan berhampiran Kampung Pulau Melayu dekat sini seperti dimaklumkan oleh nelayan tempatan.

Terdapat juga beberapa nelayan asing terbabit turut melabuhkan bot-bot mereka di beberapa lokasi di Kuala Baram.

“Kita berharap masyarakat tempatan tidak melindungi warga asing ini atau menyewakan kediaman kepada mereka bagi membolehkan pihak berkuasa menangkap mereka semula.

“Kita berharap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengawasi pergerakan mereka di laut dan menghentikan mereka daripada terus mengautkan hasil perikanan di perairan negeri ini dan bersaing dengan nelayan tempatan,” jelasnya.

Camberi mendakwa beliau turut nampak warga asing terbabit dihantar pulang pada tahun lalu selepas operasi besar-besaran memburu mereka dilancarkan, kembali semula ke sini dan kelihatan di jalan-jalan sekitar bandar raya ini.

“Mereka kembali semula, bekerja di sini sebagai tukang kayu dan buruh kasar di tapak-tapak pembinaan semasa musim landas (tengkujuh),” katanya.

Sementara itu, ketua masyarakat Melayu Miri, Temenggung Abdul Rahman Fadzil turut menggesa masyarakat tempatan tidak melindungi atau memberi perlindungan kepada golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) ini termasuk menyewakan kediaman mereka untuk golongan tersebut.

“Ini kerana, tindakan tersebut menggalakkan golongan terbabit kembali bertambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan,” katanya.

Beliau berkata jika mereka dilindungi penduduk tempatan dan tiada tindakan diambil maka sehingga kini jumlah mereka bertambah dan semakin ramai sehingga tidak dapat dikawal seperti di Sabah.

“Saya merayu kepada penduduk kampung supaya tidak melindungi pendatang asing ini sebaliknya bekerjasama dengan pihak berkuasa menangkap mereka,” jelasnya.

Menurut Abdul Rahman, pendatang asing ini amat bijak, mereka menyusup masuk ke dalam masyarakat dan tinggal bersama mereka serta memberi pelbagai alasan termasuk mendakwa kononnya mereka ada saudara tinggal di kampung terbabit.

Beliau menggesa ketua-ketua kaum di sini mengawasi populasi di kampung masing-masing supaya mereka tahu atau menyedari jika ada warga asing tinggal bersama mereka.

Sementara itu, sepanjang operasi memburu PATI secara besar-besaran dilancarkan Jabatan Imigresen dan beberapa agensi berkaitan, lebih 2,000 PATI daripada suku Suluk dan Bajau dari selatan Filipina dihantar pulang ke tempat asal mereka selepas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menggesa pihak berkuasa terbabit membanteras PATI dan kegiatan-kegiatan mereka.

Kebanyakan mereka dihantar pulang dengan menggunakan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Bintulu ke Sandakan dan dari Sandakan mereka berlepas balik ke Zamboanga di selatan Filipina.

Adenan memberi jaminan usaha dilakukan agar Sarawak tidak menjadi seperti Sabah yang dibanjiri pendatang asing Filipina.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/13/kawasan-pelantar-minyak-kaya-sumber-perikanan/