Kastam rampas 3,140 liter minuman keras di dalam lori

MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 3,140 liter minuman keras pelbagai jenama hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan di Jalan Spring, Lutong, di sini, semalam.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata rampasan itu dianggarkan bernilai RM25,728 dengan nilai cukai sebanyak RM49,307.09.

Beliau berkata, rampasan itu dilakukan pada jam 6.15 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bintulu selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

“Hasil pemeriksaan menemui minuman keras di dalam lori itu dan siasatan awal mendapati tiada sesiapa berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sharifah Halimah berkata, lori bersama muatan itu kemudian dibawa balik ke stor penguatkuasaan Miri untuk siasatan lanjut.

“Lori itu dipercayai digunakan untuk menghantar barangan seludup ke premis di sekitar bandar raya Miri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang jika didapati bersalah, boleh dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang ataupun RM100,000 ataupun penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/12/634378/kastam-rampas-3140-liter-minuman-keras-di-dalam-lori

© Copyright 2006-2018 MiriCommunity.net · A JacksonLiaw.com project.