Kapal China: Polis Limbang sedia beri bantuan logistik

TERUS BERKHIDMAT: Mohd Bukhori (tiga kiri) bergambar bersama anggotanya yang dinaikkan pangkat sarjan pada Sambutan Hari Polis Ke-209 di Limbang semalam.

TERUS BERKHIDMAT: Mohd Bukhori (tiga kiri) bergambar bersama anggotanya yang dinaikkan pangkat sarjan pada Sambutan Hari Polis Ke-209 di Limbang semalam.

Polis Marin turut meronda, elak kejadian tidak diingini

Oleh Mastura Ismail //

LIMBANG: Polis Limbang bersedia memberi sebarang bantuan logisitik kepada polis Miri sekiranya diperlukan berhubung kehadiran kapal pengawal pantai China di luar kawasan perairan Gugusan Beting Patinggi Ali, kira-kira 84 batu nautika dari pantai Miri.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata polis Marin juga melakukan rondaan di perairan Limbang bagi menangani sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Setakat ini kita ini bersiap sedia untuk memberi apa-apa bantuan, jika diperlukan dan bot marin kita meronda, meskipun perairan kita bersempadan dengan negara jiran Brunei,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Polis Ke-209 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang semalam.

Turut sama ialah Timbalan Ketua Polis Limbang DSP Tega Bilong, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Limbang yang juga isteri Ketua Polis Daerah Limbang Asiah Hasan dan pegawai-pegawai kanan polis Limbang.

Sementara itu beliau memberitahu lagi Bahagian Cawangan Khas Limbang turut diarah untuk memantau ajaran sesat Millah Abraham yang dikesan telah membeli banyak tanah untuk dijadikan markas operasi mereka.

Menurut Mohd Bukhori pembelian tanah itu antaranya di Tuaran dan Simunjan di Sabah bagi menubuhkan pemerintahan Islam atau Daulah Islamiah di rantau ini.

Daulah Islamiah Millah Abraham membabit sebahagian Kalimantan, Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia dan Indonesia.

Difahamkan aliran itu dikatakan sesat kerana menganggap orang lain yang belum dibai’at kafir. Dalam ajarannya, mereka hanya melakukan solat malam, tanpa solat lima waktu.

Pada dasarnya mereka mengaku pengikut Nabi Ibrahim, mencampuradukkan Islam, Kristian, dan Yahudi.

Dalam pada itu katanya pihaknya juga turut melakukan tangkapan terhadap suspek yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Terdahulu seramai lima anggota polis menerima pemakaian pangkat, dan penyampaian sijil penghargaan masing-masing yang diserahkan sendiri oleh Mohd Bukhori.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/26/kapal-china-polis-limbang-sedia-beri-bantuan-logistik/