Kampung Jerijeh johan ADS1M, akan mewakili S’wak

TA01800KUCHING: Kampung Jerijeh Baru, Belawai bakal mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan apabila muncul johan Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) Peringkat Negeri malam kelmarin.

Selain mengharumkan nama kampung, kampung yang terletak dalam bahagian Mukah itu juga memenangi hadiah wang tunai RM12,000, piala dan sijil kemenangan.

Tempat kedua dimenangi Kampung Meranek, Samarahan dengan hadiah RM10,000, piala dan sijil.

Hadiah RM8,000 berserta piala dan sijil dimenangi Kampung Suba Buan, Kuching yang berada di tempat ketiga.

Hadiah-hadiah disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Amiruddin Ariffin.

Jabu dalam ucapannya berkata beliau gembira dengan jumlah penyertaan yang bertambah berbanding penganjuran sebelum ini.

Beliau berharap kampung johan akan berjaya mengharumkan nama Sarawak dengan muncul sebagai johan di peringkat kebangsaan pada 14 Disember 2015.

Pertandingan ADS1M merupakan antara usaha kerajaan mentransformasikan luar bandar bagi mewujudkan kawasan yang maju, menarik dan menguntungkan menerusi masyarakat progresif, berilmu dan berkemahiran dalam pelbagai bidang.

Program itu merupakan aktiviti tahunan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan dianjurkan bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sarawak.

KEMAS bertindak sebagai urus setia pertandingan.

Amiruddin berkata penyertaan diterima pada peringkat awal ialah 43 kampung dan ia disaring kepada 10 kampung menyertai peringkat akhir.

“Diharapkan kampung yang menang dapat dijadikan contoh bagi kampung-kampung lain daripada aspek kemajuan, kepimpinan sosial dan ekonomi,” ujarnya.

Tujuh kampung lain yang memasuki peringkat akhir ialah Kampung Munggu Jabang, Sri Aman; Kampung Alit Kabong, Betong; Kampung Usaha Jaya Baru, Sibu; Kampung Melayu, Belaga; Kampung Assyakirin Fasa 2, Bintulu; Kampung Bukit Bom, Miri dan Kampung Tang Itong, Lawas.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/21/kampung-jerijeh-johan-ads1m-akan-mewakili-swak/