MIRI: Kabinet memutuskan untuk menambah jumlah anggota keselamatan di pusat peranginan di negeri Sabah, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Jelas beliau, cadangan tersebut diputuskan kabinet kelmarin bertujuan meningkatkan tahap keselamatan kawasan tersebut melibatkan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Saya cuma dapat umumkan semalam (Jumaat) di kabinet. Kabinet putuskan keselamatan tempat tempat peranginan, lokasi tumpuan pelancongan di Sabah mungkin dapat di pertingkat dan tambah kehadiran ahli anggota.
“Tidak semestinya kita menempatkan anggota tentera sahaja namun ia melibatkan tentera dengan polis dan APMM supaya kita boleh beri jaminan kepada pelancong ke Sabah bahawa mereka selamat,” katanya.
Hishammuddin berkata demikian ketika mengulas insiden penculikan empat rakyat Malaysia oleh lanun bersenjata di perairan Semporna Sabah.
Katanya, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai isu itu kerana dibimbangi akan memberi kesan kepada keselamatan keempat-empat mangsa yang masih dalam tahanan.
Beliau yakin PDRM akan terus memaklumkan perkembangan terkini kes tersebut.
“Cuma kita jangan ambil mudah apa yang berlaku di Sabah. Semua kena main peranan masing-masing,” jelas beliau.
Source: http://miri.my/2016/04/09/kabinet-putus-tambah-jumlah-anggota-keselamatan-di-sabah/