K’jaan negeri rancang tambah baik jalan balak

LIMBANG: Kerajaan merancang menambah baik jalan balak yang merupakan satu-satunya jalan penghubung utama ke penempatan Penan di Hulu Limbang di bawah Projek Jiwa Murni diselenggarakan sepenuhnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti, Dr Abdul Rahman Ismail berkata peruntukan melaksanakan projek itu dibiayai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Jelasnya, infrastruktur asas terutama jalan raya kawasan pedalaman perlu dibangunkan terutama membabitkan sembilan penempatan/kampung Penan di hulu Limbang yang terpaksa melalui jalan balak licin dan perlu dinaik taraf sebagai jalan bertar di bawah projek terbabit.

“Inilah usaha berterusan kerajaan negeri membangunkan kawasan luar bandar membina dan menambah baik prasarana perhubungan jalan raya membantu penduduk di pedalaman,”katanya pada Program Pasukan Mobile Team, Kampung Bahagian Long Napir, Hulu Limbang di sini semalam.

Beliau mewakili Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah.

Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir, Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Zon Miri Mohamad Zul Ikram Ishak, Penghulu Tebaran Siden, Ketua Kampung Long Napir Penan Lejong Regong, Ketua Kampung Long Napir Kelabit, Janging Taibilong dan ketua masyarakan Penan lain.

Pada masa ini, Limbang mempunyai sekitar 471 orang masyarakat Penan membabitkan 170 buah keluarga dengan sembilan buah kampung menetap di kawasan Hulu Limbang dan hanya boleh dilalui jalan balak.

Dr Abdul Rahman yang juga ADUN Bukit Kota menjelaskan meskipun terletak jauh di pedalaman mengambil masa empat jam perjalanan di penempatan Long Napir, kerajaan tetap komited membangunkan kemudahan asas bagi keselesaan mereka.

“Kerajaan tidak pernah meminggirkan kebajikan kaum Penan dan memberi hak sama rata untuk mereka bersama menikmati pembangunan selain jalan raya, bekalan air dan elektrik,” katanya.

Beliau juga mahu kaum Penan agar mempunyai penempatan kekal dan tidak berpindah randah bagi memudahkan kerajaan melaksanakan lebih banyak kemajuan di kawasan mereka.

“Apa yang penting adalah kerjasama dan komunikasi dua hala bagi memudahkan pembangunan disalurkan di kawasan kita.

“Pada masa sama masyarakat Penan dan Kelabit perlu menitikberatkan aspek pendidikan kerana melalui pendidikan dapat mengubah cara kehidupan menjadi lebih baik,” katanya sambil menambah kaum majoriiti itu sudah ramai memegang jawatan tinggi.

Mengulas mengenai Program Mobile Team jelasnya merupakan usaha kerajaan membasmi kemiskinan melalui penyertaan agensi kerajaan turun ke lapangan menjejaki mereka yang perlu dibantu dan tidak tercicir daripada bantuan.

“Kerajaan terus mencari mereka memerlukan bantuan dan membantu mereka meningkatkan pendapatan melalui pelbagai program dan kursus yang ditawarkan agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

Menurutnya, selain miskin tegar di kampung terdapat juga golongan miskin tegar di bandar dan jumlah pendapatan mereka adalah sekitar RM800 ke bawah.

Pada majlis itu, Dr Abdul Rahman mengumumkan geran kerajaan berjumlah RM4,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Long Napir dan RM3,000 masing-masing kepada Kampung Long Napir dan Kampung Bahagia.

Turut diadakan penyerahan barangan memasak sumbangan ketua masyarakat Cina dan beg sekolah sumbangan Yayasan Pelajaran MARA melalui GIATMARA dan MARA Limbang.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/01/kjaan-negeri-rancang-tambah-baik-jalan-balak/